Home Headline Agong perkenan Dewan Rakyat tentukan Perdana Menteri ke-8 – Tun M

Agong perkenan Dewan Rakyat tentukan Perdana Menteri ke-8 – Tun M

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Dewan Rakyat menentukan siapakah yang paling layak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, baginda mahu calon yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dengan itu, sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac ini.

“Yang di-Pertuan Agong mahu Dewan Rakyat yang menentukan siapakah yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sekiranya, Dewan Rakyat gagal menentukan siapakah yang mendapat sokongan majoriti maka pilihan raya akan diadakan,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di sini hari ini.

Dr. Mahathir menjawab soalan mengenai apakah yang dibincangkan olehnya bersama Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan di Istana Negara pagi tadi.

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong telah mengadakan temubual dengan semua Ahli Parlimen, bagaimanapun sesi dua hari itu gagal menentukan sokongan majoriti kepada calon Perdana Menteri.

Maka, keputusan terbaik menurut Yang di-Pertuan Agong penentuan melalui Parlimen, katanya.

Source: malaysiagazette
Editor: Alvin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here