Home Ekonomi AirAsia Dedah Penipuan `Tony Fernandes Foundation’

AirAsia Dedah Penipuan `Tony Fernandes Foundation’

Kuala Lumpur, MI: AirAsia Group Bhd memberi amaran wujudnya penipuan di Facebook mengaitkan nama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Tan Sri Tony Fernandes dengan sebuah yayasan yang kononnya menawarkan peluang memberi bantuan dalam projek dengan menjadi ahlinya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan, berkata ia tidak menubuhkan sebarang yayasan selain daripada yang rasmi iaitu Yayasan AirAsia dan Yayasan Tony Fernandes yang disebutkan itu tidak ada kaitan dengan AirAsia atau CEO kumpulan tersebut.

“Apa-apa mesej yang kononnya dikatakan dari Tony Fernandes atau Mark Kelvin atau dihantar berhubung dengan ‘Tony Fernandes Foundation’ adalah satu penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada saluran media sosial rasmi AirAsia untuk berita syarikat terkini berkaitan dengan perkara itu,” kata kumpulan itu.

Syarikat penerbangan itu menggesa orang ramai untuk terus berhubung dengan saluran komunikasi rasmi AirAsia sekiranya ragu-ragu atau buat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mensyaki wujud penipuan membabitkan kumpulan tersebut.

Syarikat penerbangan itu juga menambah bahawa ia tidak akan meminta data peribadi peribadi atau butiran tanpa langkah khusus dan sah di sisi undang-undang.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia atau lain-lain penipuan melibatkan AirAsia,” katanya.

AirAsia berkata, ia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan yang timbul daripada skim penipuan itu di mana pegawai atau kakitangannya tidak mempunyai sebarang pembabitan mengenainya. [bernama]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here