Home Politik Amanah dan DAP Tolak Cadangan Ketepi Anwar, Kem Mahathir

Amanah dan DAP Tolak Cadangan Ketepi Anwar, Kem Mahathir

Kuala Lumpur, MI: Pakatan Harapan (PH) menolak sebarang idea yang mahu mengenepikan PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu pun kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam satu kenyataan bersama, AMANAH dan DAP menegaskan bahawa gabungan itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa perubahan boleh berlaku dengan hanya 71 Ahli Parlimen, tanpa penglibatan 38 Ahli Parlimen PKR yang lain.

Malah, PH juga bertegas tidak bersetuju dengan idea bahawa PH boleh berunding bersama sesiapa sahaja berbekalkan 91 kerusi dengan meminggirkan kumpulan Tun Mahathir dan Warisan.

“Kami berpendapat sama ada Anwar atau Shafie Apdal, dengan berbekalkan 109 Ahli Parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka untuk mencukupkan angka 112 Ahli Parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai Perdana Menteri.

“Ada yang menyebut bahawa memandangkan pembangkang tidak dapat menyelesaikan persoalan calon Perdana Menteri, kita patut terus kekal sebagai pembangkang dan menunggu pilihan raya seterusnya.

“Kami tidak berpendapat begitu,” tegas Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kedua-dua parti komponen PH itu, sebarang formula untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) secara bersendirian sebagai PH atau tanpa PH, adalah formula yang sukar.

Ini kerana katanya, hanya PH Plus yang melibatkan PH, Warisan dan kumpulan Tun Mahathir merupakan kombinasi yang boleh memenangi PRU akan datang.

Malah kata PH, pilihan untuk berputus asa daripada menuntut semula kuasa kerajaan, bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan merupakan satu pengkhianatan terhadap pilihan rakyat.

Jalan baharu

Mohamad dan Guan Eng menegaskan jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, kata mereka, jika Anwar gagal, Datuk Seri Shafie Apdal wajar diberi peluang yang serupa.

“Kedua-duanya (Anwar dan Shafie) dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang ahli Parlimen.

“Pada masa yang sama, 109 orang Ahli Parlimen dan kelima-lima parti PH Plus iaitu AMANAH, DAP, PKR, Warisan dan kem Tun Mahathir dalam Bersatu, harus memastikan hubungan kerjasama erat untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang yang berkesan dan bersatu,” tambah mereka lagi.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here