Home Headline Anwar: Isu bincang dengan Dr M tak berbangkit

Anwar: Isu bincang dengan Dr M tak berbangkit

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata isu mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad tidak berbangkit pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) petang tadi.

“Tidak, ia tidak berbangkit,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada PH akan mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir.

Beliau ditemui selepas mesyuarat dengan pemimpin PH di Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Walau bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa hubungan PH dengan bekas sekutunya, Bersatu masih berubah-ubah atau belum muktamad.

“Kita berubah ikut hari,” katanya ketika ditanya sama ada PH bersedia menerima Bersatu dalam gabungan itu jika ada permohonan.

Ditanya sama ada PH telah berpecah ekoran tindakan Mahathir, Anwar memberi jaminan gabungan itu masih dalam keadaan baik.

“Tidak. Ia tidak lagi berbangkit. Kita masih PH sedangkan dia (Dr Mahathir) sudah meninggalkan PH,” katanya.

Pada Isnin lalu, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas partinya, bersama-sama BN, PAS, GPS, sejumlah anggota parlimen PKR, dan dilaporkan Warisan, cuba menubuhkan gabungan baru bagi menggantikan kerajaan PH.

Beliau juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas presiden parti itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan mereka keluar dari PH.

Gabungan baru itu dikatakan mahu mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri tetapi beliau berkata tidak boleh bekerjasama dengan Umno.

Semalam pula beliau mengakui Bersatu dan sejumlah anggota parlimen dalam parti komponen PH telah menyebabkan keruntuhan kerajaan.

Pimpinan Bersatu telah berusaha meyakinkan Mahathir untuk membatalkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi, dan hari ini mengumumkan beliau akhirnya bersetuju.

Pemimpin PH pula cuba meyakinkan Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi anggota parlimen Langkawi itu bertegas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti.

Susulan itu, PH dan Mahathir tampaknya tidak lagi bersama-sama

Source: roketkini
Editor: Alvin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here