Home Opini Apakah Gagal Naikkan Musa Aman Usaha Muhyiddin Untuk Malukan Umno?

Apakah Gagal Naikkan Musa Aman Usaha Muhyiddin Untuk Malukan Umno?

Kuala Lumpur, MI: Jika diperhati sejak awal, usaha menumbangkan kerajaan Sabah melalui gerakan yang dilakukan oleh Musa Aman untuk kembali memimpin negeri itu adalah suatu perkara yang dalam pengetahuan serta restu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ini berikutan ketika Musa Aman mengadakan sidang media memaklumkan beliau telah mempunyai sokongan majoriti mudah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Shafie Apdal, turut disebutnya ialah Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Mohd Nardin Awang telah pun melakukan kunjungan hormat kepada TYT Sabah bagi memaklumkan perkembangan tersebut.

Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri adalah juga Setiausaha Agung Bersatu dan kini dikenali sebagai orang kanan Muhyiddin.

Sebelum ini, Hamzah yang melompat daripada UMNO kepada Bersatu diketahui sebagai penyokong kuat Tun Mahathir Mohamad dan memainkan peranan utama untuk menghalang peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan PH, Hamzah telah menukar kiblat politiknya kepada Muhyiddin, sehingga kemudiannya diberikan jawatan kanan dalam kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri serta dilantik Setiausaha Agung Bersatu menggantikan Marzuki Yahya yang telah dipecat.

Kata Musa dalam sidang media itu, kunjungan hormat kedua-dua orang kanan Muhyiddin terhadap TYT Sabah itu adalah untuk memaklumkan bahawa kerajaan negeri baru yang bakal dibentuk nanti adalah menyokong kerajaan PN di peringkat pusat.

“Kami akan mengadap TYT selepas ini,” kata Musa Aman dalam sidang medianya.

Gambarannya seolah-olah selepas Hamzah dan Nardin melakukan kunjungan hormat terhadap TYT Sabah, ia adalah bagi memudahkan proses Musa Aman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

Tetapi, apa jadi kemudiannya?

Bukan saja Shafie diberi perkenan oleh TYT Sabah untuk membubarkan Dun negeri bagi membolehkan pilihanraya baru diadakan, bahkan hasrat Musa Aman mengadap TYT juga tidak dibenarkan.

Lebih daripada itu, rombongan Musa Aman untuk pergi ke Istana Negeri telah dihalang oleh pihak polis?

Bagaimana semua itu boleh berlaku?

Bukankah Hamzah dan Nardin telah mengadap TYT Sabah sebelum itu?

Tidakkah sepatutnya Musa Aman tiada masalah untuk mengadap TYT Sabah bagi proses angkat sumpahnya kerana Hamzah dan Nardin telah melakukan kunjung hormat lebih dulu?

Bukankah juga Hamzah adalah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis, tetapi mengapa Musa Aman sendiri dihalang memasuki Istana Negeri?

Apa sebenarnya permainan dalam kemelut politik Sabah ini?

Apakah ini merupakan misi Hamzah dan Nardin di Sabah yang dalam pengetahuan Muhyiddin telah mengalami kegagalan?

Atau mungkinkah Muhyiddin melalui Hamzah dan Nardin ada perancangan lain untuk memalukan UMNO, sekaligus menaikkan nama Bersatu dalam gerakan yang kononnya untuk menaikkan semula Musa Aman itu?

_______________________________________________________________________Tulisan asal dari Shahbudindotcom.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here