Home Ekonomi Bulan November, Harga Tiket Penerbangan Kembali Normal

Bulan November, Harga Tiket Penerbangan Kembali Normal

Kuala Lumpur, MI: Walaupun kerajaan memutuskan untuk memberi pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat untuk membolehkan syarikat penerbangan beroperasi semula namun tidak semestinya harga tiket akan turun serta-merta.

Ini kerana, syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum wabak Covid-19.

Di samping itu, syarikat penerbangan juga mempraktikkan konsep cross-subsidisation dalam penetapan harga tambang.

Mana-mana laluan penerbangan yang mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan-laluan yang tidak menguntungkan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Melalui konsep ini syarikat penerbangan mampu menawarkan harga penerbangan yang rendah dan mampu dibeli oleh penumpang.

Pelaksanaan konsep ini juga amat bergantung kepada jaringan penerbangan yang meluas ditawarkan oleh syarikat penerbangan berdasarkan permintaan.

Ka Siong menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta menteri itu menyatakan apakah langkah kementerian mengenai harga tiket penerbangan antara wilayah Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia yang terlalu tinggi dan adakah satu garis masa telah ditetapkan untuk mengembalikan harga tiket kepada tahap yang mampu milik.

Tambahnya, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa antara 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak wabak Covid-19.

Berdasarkan analisa yang dilaksanakan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan harga tiket penerbangan akan kembali normal kepada harga purata pada tahun 2019 menjelang November 2020 setelah syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar.

”Akan tetapi ianya bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

Namun, pemantauan yang dilaksanakan oleh Mavcom bagi tempoh di antara 2 Jun hingga 8 Julai 2020, didapati harga tambang penerbangan terutama daripada Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah menunjukkan trend penurunan berbanding dengan bulan Mei 2020.

Bagi perjalanan bagi bulan Julai 2020 pula, harga tambang menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata yang ditawarkan pada tahun 2019.

Sebagai contoh, harga tiket bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching untuk sehala adalah di antara RM200 hingga RM400 jika dibandingkan dengan harga yang telah dikenakan pada bulan Jun 2020 iaitu melebihi RM1,000.

Ka Siong berkata, orang ramai disaran untuk membuat perancangan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding dengan pembelian di saat-saat akhir. [mg]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here