Home Life Style Cuci Tangan Selepas Sentuh Haiwan Peliharaan

Cuci Tangan Selepas Sentuh Haiwan Peliharaan

Putrajaya, MI: Orang ramai dinasihat membasuh tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan kerana dibimbangi haiwan terbabit dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata adalah penting untuk menjaga kebersihan termasuk ketika mengendalikan haiwan terbabit.

“Basuh tangan anda sebelum dan selepas mengendalikannya. Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar (DVS) untuk nasihat lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter mengenai haiwan yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan di sebuah zoo di New York.

Terdahulu, menerusi sidang media Dr Noor Hisham berkata sekiranya haiwan terbabit dijangkiti COVID-19, virus berkenaan boleh menjangkiti pemiliknya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh jenis coronavirus yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia antaranya, Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan yang terbaharu ialah COVID-19.

Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Harimau yang dinamakan sebagai Nadia itu berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti coronavirus daripada manusia.

Selain itu, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.[bh]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here