Home Nasional Dr Noor Hisham Kecewa dengan Penyokong Najib

Dr Noor Hisham Kecewa dengan Penyokong Najib

Kuala Lumpur, MI: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kecewa dengan tindakan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berhimpun dan bersesak beramai-ramai di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi satu hantaran melalui Twitternya, beliau berkata sudah berkali-kali Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan untuk mematuhi penjarakan selamat.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri.

“Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari KKM mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan,” katanya.

Pagi tadi kira-kira 2,000 penyokong Najib bersesak dan bersorak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka dengan sebahagiannya tidak memakai pelitup muka atau tidak mengenakannya dengan sempurna, berteriak berulang kali jeritan Bossku sejurus Najib tiba.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh turut meluahkan kebimbangannya akibat perhimpunan yang tidak terkawal itu.

Pengerusi PKR Johor itu berkata, wabak itu masih menular dalam negara dan sebarang usaha pencegahan perlu dilakukan dengan berdisiplin.

“Terutamanya apabila hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah, kita bimbang berlaku kluster baharu akibat daripada satu perhimpunan yang tidak dikekang dan dikawal.

“Langkah pencegahan wajib diamalkan malahan lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan ini benar-benar tamat. Kita tidak kalah, tetapi kita belum menang,” katanya ketika ucapan perbahasan di Parlimen hari ini.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here