Home Bisnis Impak insentif pelancongan pejana kembali ceriakan pantai Port Dickson

Impak insentif pelancongan pejana kembali ceriakan pantai Port Dickson

PORT DICKSON, 15 Jun  — Pantai peranginan Port Dickson yang sebelum ini suram tanpa sebarang aktiviti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas kini kembali “hidup” dengan kehadiran pengunjung.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun yang menyusuli pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai yang nyata “rindukan” angin pantai setelah lebih dua bulan “terkurung” di rumah.

Gabungan PENJANA yang antaranya memberikan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dalam negara sehingga 31 Dis 2021 berserta kebenaran merentas negeri menerusi  PKPP mendorong pemain industri perhotelan di sini menawarkan diskaun penginapan sehingga 50 peratus bagi menarik pengunjung.

Pengusaha Nur Banglo Homestay dan Nur Arowana Homestay Port Dickson, Muhamad Ammar Farhan@Brorey berkata sebaik kerajaan mengumumkan PKPP menggantikan PKP Bersyarat yang berakhir pada 9 Jun, beliau menerima tempahan penginapan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Setakat ini saya menerima 10 tempahan daripada pelanggan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur untuk menginap di rumah inap saya,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, bagi Pengurus Hotel Klana Beach Resort Port Dickson Che Dzaruddin Che Omar, tempahan yang diterima pihaknya masih rendah, namun percaya angka akan meningkat apabila kerajaan melonggarkan sekatan terhadap aktiviti lain seperti kebenaran menggunakan kolam renang dan gim.

“Pelanggan paling jauh yang kami terima ialah dari Selangor manakala selebihnya adalah dari negeri ini,” katanya.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Kevin Joo Kok Wai, 34, berkata dia memilih Port Dickson sebagai destinasi percutian pertamanya selepas PKP kerana lokasi itu paling dekat dan paling mudah diakses olehnya.

“Saya sudah lama tidak bercuti dan kebenaran yang diberikan kerajaan akan digunakan sebaiknya. Bagaimanapun, kita perlulah menjaga diri kita sendiri dan mengamalkan normal baharu seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) pada Jumaat memaklumkan seluruh pantai awam di kawasan itu dibuka kepada pengunjung mulai Sabtu namun hanya lima aktiviti dibenarkan iaitu perkelahan tidak melebihi 10 orang, berjogging, berbasikal, mandi laut serta kemudahan tandas awam dan surau.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk perkhemahan bermalam di kawasan pantai, program keramaian seperti hari keluarga dan perkahwinan serta kegiatan air lain dan sebarang aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan.

Muhyiddin ketika membentangkan PENJANA berkata bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19, kerajaan memperkenalkan insentif cukai seperti pengecualian cukai pelancongan mulai 1 Julai sehingga 30 Jun 2021 dan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan untuk hotel sehingga 30 Jun 2021.

Kerajaan turut melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Dis 2021 dan lanjutan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai sehingga 31 Dis.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan pembiayaan sektor pelancongan PENJANA berjumlah RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor berkenaan agar terus berdaya maju dan berdaya saing dalam era normal baharu.

Source: Bernama
Editor: Alvin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here