Home Ekonomi Indeks kebahagiaan rakyat difokus dalam Bajet 2021 Perak

Indeks kebahagiaan rakyat difokus dalam Bajet 2021 Perak

Kuala Lumpur, MI: Pembentangan Bajet 2021 Negeri Perak bukan sahaja menumpukan kepada angka-angka ekonomi sahaja namun turut memberi penekanan kepada indeks kebahagiaan rakyat.

Menurut Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan, kerajaan negeri dengan itu akan mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh yang terdiri daripada pelabur, usahawan, pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) peniaga kecil dan wakil kumpulan masyarakat serta belia bagi mendapatkan input dan pandangan sebelum merangka belanjawan tahunan negeri tersebut.

Sesi Dialog Belanjawan Negeri Perak 2021 akan diadakan pada Selasa, 11 Ogos ini di Hotel Casuarina@Meru bermula jam 9.30 pagi.

“Sesi dialog ini akan dijalankan secara terbuka tetapi memandangkan kita masih perlu mengambil langkah pencegahan Covid-19, kira-kira 500 orang sahaja dijemput untuk menghadiri majlis berkenaan tetapi kerajaan negeri tetap menyediakan platform khusus atas talian supaya seluruh rakyat dapat menyertai dialog berkenaan.

“Ianya akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak manakala untuk menghantar maklum balas, orang ramai boleh membuka laman web http//:aspirasi2021.perak.my,” katanya semasa ditemubual oleh PerakFM hari ini.

Tambah Zulazlan, banya perkara yang perlu diberi pertimbangan di dalam merangka Bajet 2021 kerana pelbagai perkara yang tidak diduga telah berlaku sepanjang tahun ini.

Ini termasuk pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan yang turut memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita tetap perlu bersyukur.

“Bajet 2021 dijangka dibentangkan pada November seperti biasa tetapi sebagai persediaan kita perlu segera mengkaji semula segala kelemahan dan kekuatan yang dimiliki oleh negeri ini.

“Kemudian kita perlu merangka agihan bajet mengikut sektor keutamaan dan keperluan masyarakat.

“Kita tidak hanya fokus kepada angka-angka ekonomi semata-mata sebaliknya juga memandang kepada indeks kebahagiaan rakyat.

“Iltizam kerajaan negeri adalah untuk menyediakan sebuah belanjawan yang inklusif. Seboleh mungkin kita mahu mengambil kira keperluan setiap rakyat,” katanya lagi.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here