Home Ekonomi Jumlah rakyat bekerja susut pada suku kedua – Mohd Uzir

Jumlah rakyat bekerja susut pada suku kedua – Mohd Uzir

Kuala Lumpur, MI: Jumlah penduduk bekerja jatuh kepada 14.88 juta orang manakala kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus pada suku kedua tahun 2020 ini.

Penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan menurun terutamanya dalam penginapan, makanan & minuman dan kesenian, hiburan dan rekreasi manakala penduduk bekerja dalam aktiviti e-dagang, perkhidmatan penghantaran dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi meningkat.

Bagaimanapun, penawaran buruh menunjukkan peningkatan di akhir suku kedua ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, permintaan buruh sektor swasta adalah lebih rendah pada suku ini dengan jumlah jawatan menurun sebanyak 236,000 kepada 8.38 juta dengan kekosongan berkurang sebanyak 48,000 kepada 170,000 jawatan.

Namun begitu, masih terdapat sejumlah 12,000 jawatan diwujudkan dengan sebahagian besarnya adalah pekerja separuh mahir.

Menjelaskan mengenai impak prestasi ekonomi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku kedua 2020, beliau berkata, dengan KDNK merosot 17.1 peratus, produktiviti buruh yang diukur menggunakan nilai ditambah per pekerja jatuh 16.0 peratus kepada RM19,455 per pekerja manakala pekerja turun 1.3 peratus.

Sebaliknya, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja meningkat 15.6 peratus dengan RM46 per jam, susulan kejatuhan jumlah jam bekerja sebanyak 28.2 peratus dalam suku ini.

Dengan kawalan pergerakan dan operasi perniagaan, pendapatan perniagaan menurun dan seterusnya memberi tekanan kepada pasaran buruh.

Namun, melalui inisiatif PRIHATIN, PRIHATIN tambahan dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA), perniagaan dapat mengekalkan pekerja.

Di akhir suku kedua, lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula, dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam pasaran buruh.

Mohd Uzir berkata, pada bulan Julai, semakin banyak aktiviti dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat, tambahan pula dengan pembukaan sekolah dan universiti pada awal Julai, dijangka tenaga buruh akan meningkat.

Keadaan perniagaan yang semakin pulih menyebabkan para peniaga cenderung untuk mengekalkan pekerja, mencipta pekerjaan baharu dan mempercepatkan pengambilan pekerja.

Lanjutan ini, dengan pemulihan di kedua-dua segmen pasaran buruh, ketidakseimbangan pasaran buruh akan berkurang dan seterusnya mempercepat pertumbuhan produktiviti.

Pada masa hadapan, perubahan model perniagaan dijangka berlaku berfokus kepada pendigitalan dan perkembangan ini dapat memacu Revolusi Industri 4.0, yang mana automasi menjadi sebahagian besar daripada ekonomi.

Perkara ini akan mendorong pewujudan lebih banyak pekerjaan mahir untuk siswazah yang semakin bertambah, bagaimanapun, ianya bergantung kepada keupayaan dan kesediaan ekonomi untuk melabur dalam teknologi, serta keberkesanan kos terhadap penggunaannya dengan situasi semasa.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here