Home Ekonomi Kadar Pengangguran Mei 2020 Meningkat Kepada 5.3%

Kadar Pengangguran Mei 2020 Meningkat Kepada 5.3%

PUTRAJAYA 28 FEBRUARI 2018. Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di KPDNKK. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Kuala Lumpur, MI: Kadar pengangguran Malaysia terus meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 826,100 orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran terus meningkat 0.3 mata peratus bagi perbandingan bulan ke bulan kepada 5.3 peratus berikutan bilangan penganggur meningkat sebanyak 47,300 orang berbanding April 2020.

Walau bagaimanapun, peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei 2020 ini adalah lebih rendah berbanding peningkatan yang dicatatkan bagi Mac ke April, iaitu sebanyak 168,300 orang.

Pengurangan ini berkemungkinan disebabkan oleh pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu, di samping lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dalam bulan tersebut.

Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu juga telah berkurang lebih daripada separuh kepada 2.27 juta orang (April 2020: 4.87 juta orang).

Dapatan ini hasil Survei Tenaga Buruh (STB) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kumpulan ini, yang kemungkinan besar tidak dapat bekerja dari rumah, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali semula bekerja.

Daripada jumlah tenaga buruh pada bulan Mei 2020, penduduk bekerja mencatatkan penurunan marginal 0.3 peratus (April 2020: -2.0%) bulan ke bulan kepada 14.89 juta orang.

Selari dengan ini, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang memberikan maklumat mengenai kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga terus menurun sebanyak 0.4 mata peratus kepada 64.4 peratus.

Menurutnya, pada bulan tersebut, penduduk bekerja yang terjejas adalah dalam sektor perkhidmatan; terutamanya industri yang berkaitan dengan pelancongan, penginapan, perancang acara, kesenian & hiburan, aktiviti sukan & rekreasi, serta perkhidmatan lain.

Berikutan pengesanan peningkatan kluster Covid-19 dalam kalangan pekerja asing oleh pihak berkuasa kesihatan, penurunan pekerja yang ketara juga didapati berlaku di sektor
pembinaan.

Mengulas lebih lanjut mengenai situasi tenaga buruh, Mohd Uzir memaklumkan, bilangan bekerja sendiri terus menurun sejak Mac 2020.

Pada Mei 2020, kumpulan ini adalah seramai 2.42 juta orang, berkurang 161,500 orang
berbanding April 2020.

Kebanyakannya adalah bekerja secara gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers dan serta pekebun kecil.

Oleh kerana fasa PKP Pemulihan masih tidak membolehkan perniagaan mereka beroperasi seperti biasa, kumpulan bekerja sendiri ini telah dan berisiko tinggi terhadap kehilangan
pekerjaan dan pendapatan.

Sementara itu, bilangan tenaga buruh meningkat secara marginal sebanyak 1,800 orang berbanding April 2020 kepada 15.71 juta orang.

Perbandingan secara tahunan, bilangan tenaga buruh meningkat 71,700 orang (0.5%).

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada Mei 2020 berada pada 68 peratus, mencatatkan penurunan 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan aliran ke luar tenaga buruh yang terus meningkat.

Bagi luar tenaga buruh pada Mei 2020, meningkat 0.6 peratus, mencatatkan aliran masuk sebanyak 47,000 orang berbanding April 2020 (+105,300).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 7.39 juta orang, peratus sumbangan terbesar iaitu 43.4 peratus di luar tenaga buruh disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga, dengan bilangan meningkat 1.0 peratus dari April 2020.

Ia diikuti faktor yang masih bersekolah dengan sumbangan 39.1 peratus.

Mohd Uzir menambah, indikator ekonomi pada bulan Mei 2020 menunjukkan peningkatan berbanding April 2020 dan ini memberi isyarat keadaan ekonomi yang beransur pulih secara berperingkat.

Walaupun trend negatif penawaran buruh berterusan hingga Mei 2020, keadaan ini
adalah lebih baik dibandingkan dengan April 2020.

Dijangkakan dengan penguatkuasaan PKP Pemulihan mulai 10 Jun 2020, keadaan perniagaan akan semakin pulih berikutan lebih banyak sektor telah dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard yang ketat.

Pelaksanaannya membolehkan momentum perniagaan kembali semula, manakala peluang perniagaan baru juga akan muncul berikutan perubahan permintaan selaras dengan norma baru.

Ini seterusnya, dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pengambilan pekerja.

Selaras dengan perkembangan ini, dalam jangka masa pendek, keadaan tenaga buruh pada Jun 2020 dijangka akan lebih baik dan berterusan hingga separuh kedua tahun 2020.

Melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, ditambah dengan inovasi model baru perniagaan yang kreatif, pasaran buruh akan semakin pulih.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here