Home Headline Kalau Umno boleh berbaik dengan MIC, MCA, PAS, kenapa tidak dengan Bersatu

Kalau Umno boleh berbaik dengan MIC, MCA, PAS, kenapa tidak dengan Bersatu

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa hari ini berkata beliau sedia dipecat dari Umno atau dilucutkan jawatan menteri susulan kritikan Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan Ahli Parlimen Ketereh itu sebagai figura yang sudah “mati” dalam Umno.

“Rahmat itu tuhan boleh tarik bila-bila masa. Kalau hendak pecat saya, hendak buang dan gugur jawatan menteri, tidak mengapa. Jiwa saya lebih kacau kalau saya ini membodek dan dianggap takut hilang jawatan,” kata Annuar.

Annuar berkata beliau tidak ambil hati dengan teguran Timbalan Pengerusi Johor itu namun mengingatkannya bahawa yang penting ialah perjuangan parti berterusan.

“Tidak ada masalah, kalau kita dikritik, ditegur dan berbeza pendapat. Pada saya, harus dialu-alukan dan kalau jadi ahli politik figura yang sudah mati, tidak mengapa. Macam mana pun akan mati juga, tetapi perjuangan itu harus hidup.

“Saya pegang pada prinsip Umno adalah parti mewakili perjuangan orang Melayu dan parti mengasaskan kemerdekaan negara. Kunci utama dalam Umno adalah menyatupadukan rakyat terutamanya Melayu dan dan Bumiputera,” katanya sewaktu ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Nur Jazlan menyifatkan Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno, ketika mengulas kenyataan beliau bahawa Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.

Beberapa pemimpin lain Umno turut melihat Annuar sebagai terlalu akrab dengan PPBM pimpinan Muhyiddin sehingga meminggirkan kepentingan Umno.

Dalam wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan anjuran Umno Online kelmarin, Annuar mendakwa segelintir ahli parti itu sudah lupa, Umno parti yang kalah dan jatuh suslan pilihan raya umum lalu.

Hari ini, Annuar terus mempertahankan pendirian itu dan menegaskan parti-parti politik termasuk Umno bukanlah “agama” tetapi ditubuhkan untuk tujuan tertentu. Namun, beliau menegaskan prinsip yang tidak boleh diabai adalah untuk berpegang pada jalan Allah dan tidak berpecah.

“Jangan galakkan perpecahan kerana soal tidak setuju, tidak suka dan bergaduh politik. Bagi saya, tidak ada musuh kekal dan kawan yang kekal. Kalau Umno boleh berbaik dengan MIC, MCA, PAS, kenapa tidak boleh berbaik dengan PPBM,” katanya.

Annuar berkata, perbalahan melibatkan segelintir pemimpin Umno kini lebih kepada isu personaliti dan peribadi. Beliau berkata kelompok ini harus bersyukur kini Umno sudah kembali di tampuk pentadbiran Putrajaya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/21/saya-bukan-kaki-bodek-tapi-pertahan-perjuangan-umno-kata-annuar/

Source link

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here