Home Politik Kenyataan Abdul Hadi, Wanita AMK: “Malaysia Sebuah Negara Sekular”

Kenyataan Abdul Hadi, Wanita AMK: “Malaysia Sebuah Negara Sekular”

Shah Alam,MI: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah lupa bahawa majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ialah Melayu Islam berikutan kenyataannya yang menyifatkan orang Melayu perlu dominan untuk menjamin kestabilan politik tanah air.

Ketua Biro Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Leny Azmi berkata, kenyataan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu menunjukkan diri beliau tidak cukup yakin dengan gabungan PN hari ini.

“Representasi ahli politik Melayu kini lebih daripada 60 peratus di Parlimen malah orang Melayu masih majoriti dalam kuasa politik tanah air walaupun kerajaan bertukar tangan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN.

“Persoalannya apa yang masih tidak cukup? Jika diikutkan fakta sebenar wakil ahli politik Melayu masih banyak daripada pelbagai parti malah yang menguasai Parlimen hari ini juga ialah ahli politik Melayu,” katanya mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam wawancara dengan Reuters semalam.

Presiden Pas dalam wawancara itu dilaporkan berkata, beliau menjangkakan pilihan raya mengejut akan diadakan antara akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Beliau yang bersetuju supaya pilihan raya mengejut diadakan itu berkata, ia perlu untuk menambahkan bilangan wakil rakyat Melayu-Islam di Dewan Rakyat dan mengesahkan mandat Perikatan Nasional untuk terus berkuasa.

Mengulas lanjut, Leny mempersoalkan Abdul Hadi bertegas menggunakan faktor agama dan kaum bagi menentukan tadbir urus negara.

“Saya berpendapat (Abdul) Hadi takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Beliau mengharapkan gabungan Pas-UMNO-PPBM (Bersatu) meraih lebih 2/3 majoriti di Parlimen dan cuba menggunakan isu perkauman untuk meraih undi rakyat.

“Kenyataan Haji (Abdul) Hadi mendesak Malaysia dijadikan sebagai negara Islam mengiyakan hakikat bahawa Malaysia sebuah negara sekular,” katanya.

Dalam pada itu, Leny turut menyifatkan politik perkauman sempit dan menggunakan nama agama sering dimainkan oleh ahli politik untuk meraih undi rakyat sejak zaman-berzaman.

“Saya fikir Malaysia harus bergerak maju ke hadapan daripada isu perkauman ini. Beberapa minggu lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-63 namun kita masih terbelenggu dengan permainan politik yang memecah-belahkan perpaduan rakyat.

“Sempena bulan kemerdekaan ini juga saya menyeru rakyat Malaysia untuk tidak lagi memandang isu perkauman dalam politik masa kini.

“Seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab seharusnya fokus mencari solusi dalam menyelesaikan masalah rakyat bukannya sibuk mengapikan perpaduan rakyat Malaysia yang sudah terbina sekian lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, politik perkauman sempit itu harus dihentikan kerana Malaysia bukan milik satu kaum sahaja malah ketuanan Melayu tidak akan terusik selagi Perlembagaan Malaysia tidak dipinda oleh mana-mana pihak.

“Saya juga menyelar pemimpin yang sengaja mengapikan isu perkauman yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.[sh]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here