Home Ekonomi Kerajaan PH jana keuntungan RM3.3 juta dari siaran Piala Dunia

Kerajaan PH jana keuntungan RM3.3 juta dari siaran Piala Dunia

Kuala Lumpur, MI: Dewan Rakyat dimaklumkan kerajaan sebenarnya menjana keuntungan sebanyak RM3.3 juta dengan menyiarkan siaran perlawanan bolasepak Piala Dunia 2018 di RTM.

Menurut Hansard, 1 Ogos 2018, menteri komunikasi dan multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo memberitahu Dewan Rakyat bahawa keuntungan itu adalah hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut.

Jumlah itu kemudian dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan, katanya.

Keputusan pentadbiran Pakatan Harapan untuk menyiarkan kejohanan itu, yang berlangsung dari bulan Jun hingga Julai 2018, kini menjadi tumpuan susulan pendedahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mengeluarkan senarai kononnya 101 projek yang diberikan oleh pentadbiran sebelum ini adalah tanpa tender terbuka.

Antara kontrak rundingan terus itu adalah sebuah syarikat yang dikenali sebagai Sport Media & Distributor Sdn Bhd, pemilik tunggal hak penyiaran kejohanan itu di Malaysia, dengan jumlah RM29.9 juta.

Menurut Hansard, Gobind memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Maxis Bhd adalah penaja utama iaitu penaja platinum dengan sumbangan sebanyak RM18 juta manakala Air Asia Berhad adalah penaja emas dengan sumbangan RM12 juta.

Sejumlah RM3.3 juta adalah hasil iklan dan tajaan daripada pelbagai syarikat lain.

“Setelah jumlah hak siaran sebanyak RM30 juta ditolak daripada jumlah tajaan, kerajaan telah menjana pendapatan sebanyak RM3.3 juta.

“Hasil keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan,” kata Gobind.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta penjelasan mengenai kos siaran.

Kontroversi mengenai kontrak yang dianugerahkan secara terus muncul semasa Zafrul, ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pulai, Ahmad Mazlan, memberitahu Dewan Rakyat bahawa pentadbiran Harapan memberi 101 kontrak berjumlah RM6.61 bilion tanpa tender terbuka.

Pendedahan itu menyaksikan pemimpin Perikatan Nasional kemudiannya menuduh PH sebagai mengingkari janjinya untuk menghapuskan pemberian kontrak secara langsung.

Namun, para pemimpin PH berkata pengkritik seperti itu sebenarnya keliru kerana gabungan itu tidak pernah berjanji untuk melakukannya. Sebaliknya, perkara 23 pada manifesto pilihan raya PH berjanji akan melaksanakan proses tender terbuka seluas mungkin.

Hari ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata bahawa sebahagian besar daripada RM6.61 bilion yang disebutkan oleh Zafrul sebenarnya adalah kontrak yang dimulakan oleh pentadbiran BN sebelum ini.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here