Beranda Politik Mat Sabu: AMANAH Akan Tetap Pertahankan PH Sebagai Wadah Perjuangan Rakyat 

Mat Sabu: AMANAH Akan Tetap Pertahankan PH Sebagai Wadah Perjuangan Rakyat 

Kuala Lumpur, MI: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, AMANAH akan tetap mempertahankan Pakatan Harapan (PH) sebagai wadah perjuangan membela rakyat.

Kata beliau, mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional yang berlangsung pagi ini telah menegaskan iltizam dan komitmen AMANAH untuk mempertahankan kesatuan PH sebagai satu-satunya wadah yang memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.

“AMANAH menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Warisan untuk terus berusaha mengambil balik mandat dan hak rakyat yang telah diberikan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Ini adalah untuk meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi yang mapan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, AMANAH amat mengambil berat kegelisahan dan kerisauan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah ditubuhkan tanpa mandat rakyat dan membelakangkan amalan urus tadbir baik seperti mengabaikan fungsi dan peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang negara terutamanya dalam perbelanjaan dana awam.

Lebih membimbangkan, kata beliau, pembebasan beberapa individu yang terkait dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berskala besar baru-baru ini yang menimbulkan tanggapan campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

“Ini juga menimbulkan tanggapan akan berlaku pembebasan individu-individu lain yang sedang didakwa dan juga penularan amalan-amalan rasuah.

“Begitu juga amalan memperalatkan kedudukan dan jawatan sebagai habuan untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen akan menyebabkan kepentingan institusi-institusi negara terjejas.

“Salah guna institusi penguatkuasaan dan perundangan untuk mendakwa dan memberikan tekanan terhadap pemimpin pembangkang juga dilihat menjadi amalan baharu kerajaan,” kata beliau.

Ujar Mohamad, dengan menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut (snap election) dalam tempoh terdekat, AMANAH menggesa semua parti komponen PH untuk mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing pada kadar segera.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here