Home Politik MIC tarik diri daripada sertai PN

MIC tarik diri daripada sertai PN

Kuala Lumpur, MI: MIC menarik diri daripada menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas Umno juga membuat keputusan tidak menyertai gabungan itu.

Dalam satu surat yang dilihat Malaysiakini, MIC telah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menyatakan keputusan parti berkenaan.

“Merujuk kepada surat kami bertarikh 15 Julai 2020, Majlis Tertinggi MIC telah sebulat suara untuk menyertai PN dengan tanggapan bahawa Umno turut menyertai PN.

“Oleh kerana Umno tidak berhasrat menyertai PN pada 29 Julai 2020 maka, keputusan Majlis Tertinggi pada 10 Julai 2020 tidak boleh digunapakai dalam penyertaan PN,” kata surat berkenaan.

Surat tersebut ditandatangani Setiausaha Agung MIC, M Asojan Muniyandy.

Dua hari lalu, Presiden MIC SA Vigneswaran memaklumkan langkah parti itu untuk menyertai PN bukan dengan niat mengkhianati rakan-rakan parti komponen dalam BN, khususnya Umno.

Sebaliknya dia berkata apa yang berlaku ialah wujud kekeliruan sehingga mendorong MIC membuat keputusan itu.

Ahad lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MIC telah mendaftar dengan PN bersama-sama Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata Umno tidak akan menyertai PN, sebaliknya akan mengukuhkan Muafakat Nasional bersama PAS.

Asojan dalam surat itu turut berkata, memandangkan Umno tidak menyertai gabungan itu,keputusan Majlis Tertinggi MIC berhubung keanggotaan dalami jawatankuasa penaja PN tidak boleh digunapakai.

“Sehingga satu keputusan baru dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC, keanggotaan pemimpin MIC sebagai ahli jawatankuasa penaja PN tidak boleh digunapakai,” katanya.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here