Home Politik MP Stampin: DAP Tetap Berpegang Kepada Prinsip

MP Stampin: DAP Tetap Berpegang Kepada Prinsip

Kuala Lumpur, MI: DAP akan terus menjadi tonggak integriti dalam politik, berpegang kepada prinsip demokrasi serta mampu membawa pemerintahan yang baik dan adil untuk semua rakyat di negara ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, desakan terhadap urus tadbir yang baik terutamanya tender terbuka untuk perolehan dan kontrak telah banyak menimbulkan kemusykilan sebelum ini termasuk Kerajaan Negeri Sarawak yang dipegang oleh pembangkang ketika itu.

Kata beliau, disebabkan urus tadbir yang baik itu juga dapat menjelaskan mengapa parti politik di Sarawak telah memilih bekerjasama dengan PAS dan UMNO daripada bekerjasama dengan DAP.

“Selepas kejatuhan Kerajaan PH dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, kita sekarang melihat banyak kontrak kerajaan diberikan tanpa proses tender terbuka.

“Telah berlaku perundingan langsung dan tender yang dilaksana untuk kontrak kerajaan kini kembali beroperasi yang hanya bagi memberi peluang kepada kroni-kroni mereka sahaja,” ujarnya ketika merasmikan penubuhan Cabang DAP baharu di Bau, Kuching, semalam.

Justeru, jelas beliau rakyat di negara ini termasuk di Sarawak mesti terus berusaha untuk menghentikan politik yang hanya ‘mengenyangkan’ kroni mereka semata-mata.

“Jika tidak, seluruh negara akan habis. Nasihat saya kepada ahli baharu adalah supaya sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai baik parti serta berkhidmat kepada rakyat tanpa kepentingan,” tegasnya.

Pada majlis itu, Cabang DAP Bau telah menerima seramai 100 ahli baharu yang diketuai oleh Granda Aing.

Cabang DAP Bau akan bekerjasama dengan Cawangan Tasik Biru untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan berkenaan sekali gus bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

“Ini adalah cawangan baharu kelima di Wilayah Selatan Sarawak yang ditubuhkan setelah bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

“Cawangan lain yang telah berjaya ditubuhkan ialah Sungai Tapang, Stapok, Maong Bazaar dan Jalan Hijau,” ujar Chong yang juga merupakan Ahli Parlimen Stampin.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here