Home Politik Parti baharu Dr Mahathir ditolak rakyat – Najib

Parti baharu Dr Mahathir ditolak rakyat – Najib

Najib Razak

TANJUNG MALIM, MI: Kemenangan besar calon Barisan Nasional bagi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditolak rakyat.

Malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu juga menunjukkan rakyat sudah muak dengan strategi menggunakan serangan peribadi ke atas diri beliau.

“Strategi parti baru Dr Mahathir, Pejuang yang guna lambang Pokok ketika kempen, apa yang mereka lakukan ditolak balik oleh rakyat, orang sudah meluat dengar kalau dilihat kempen kali ini kerana hendak balas dendam atau soal peribadi.

“Rakyat dengar cerita dan mereka telah tolak, mereka nak pemimpin yang boleh bela mereka, boleh jaga kebajikan rakyat.

“Balik-balik sebut nama saya (ketika kempen), rakyat sudah benci dengar isu (serangan peribadi ketas saya),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri pengumuman keputusan PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini malam ini.

Najib berkata, bukti penolakan rakyat kepada parti Mahathir itu cukup jelas.

Ini kerana kawasan yang bekas perdana menteri itu berkempen di Felda Besaout 2 dua hari sebelum hari mengundi, calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi telah kalah teruk.

“Tempat Dr Mahathir pergi di Besout 2, mereka kalah teruk, calon kita menang majoriti jauh lebih besar.

“Ini petanda rakyat semakin sedar kegagalan kepimpinan beliau (Mahathir) selama 22 bulan.

“Jelas mereka beri sokongan kepada BN dan tolak calon parti baru,” katanya.

Tambah bekas Presiden UMNO itu, kemenangan besar BN di Slim juga menunjukkan logo BN masih diterima rakyat di samping dibantu rakan parti lain termasuk Pas dan Bersatu.

“Ini bukti logo BN masih dekat di hati rakyat, malah melalui Muafakat Nasional (MN) maknanya kerjasama dengan Pas, parti-parti lain dalam BN, MCA, MIC, Bersatu ada sumbangan.

“UMNO dan Pas teras kepada MN. Ini merupakan pilihan ramuan politik pilihan utama masyarata khususnya dalam PRK Slim,” katanya.

Najib yang juga bekas Pengerusi BN berkata, menerusi PRK ini, sokongan bukan Melayu kepada BN turut kembali meningkat.

“Undi Cina dan India nampak semakin meningkat ke arah BN dan ini satu petanda sangat positif dan terima kasih di atas perubahan sikap mereka,” katanya yang merujuk kepada semua 13 Pusat mengundi dimenangi BN.

BN berjaya mempertahankan kerusi Slim dalam PRK ini dengan majoriti lima kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

BN yang diwakili Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon bebas, Amir Khusyairi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here