Home Politik Parti baru Dr M, Takiyuddin: Melayu Makin Berpecah

Parti baru Dr M, Takiyuddin: Melayu Makin Berpecah

Kuala Lumpur, MI: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjangkakan orang Melayu akan terus berpecah jika Dr Mahathir kekal dengan keputusan untuk menubuhkan parti politik berteraskan Melayu dan pribumi.

“Saya tak pasti apa tujuan Tun (Dr Mahathir) untuk menubuhkan satu lagi parti (berteraskan) orang Melayu.

“Pengalaman saya bersama Tun beliau seringkali menimbulkan isu perpecahan orang Melayu. Beliau ada pengikut dan Melayu akan semakin berpecah,” katanya, lapor Bernama.

Sentimen yang sama turut dikongsikan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim yang berkata tindakan bekas perdana menteri itu hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini. Rais dipetik Bernama berkata parti politik bertunjangkan bangsa Melayu sudah banyak selain asas penubuhan parti baharu itu juga dilihat kurang jelas.

“Dari segi realiti untuk menubuhkan parti politik bukan mudah dan ia memakan masa… lagipun buat apa Tun mahu menubuhkan parti Melayu lagi sedangkan beliau pernah mengepalai parti Bersatu. Jadi saya kira paling baik ialah beliau kembali kepada Bersatu atau Umno.

“Bagi saya menubuhkan satu lagi parti Melayu sudah tidak ada alasan, sebab kita mahu mencari perpaduan… jika tidak hak kita di bawah Perlembagaan akan lumat. Kita hormat beliau tentang inovatif tetapi dalam hal ini rasanya tidak,” katanya.

PAS: Terpulang Dr M

Sementara itu, Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata mana-mana pihak, termasuk Mahathir, tidak mempunyai masalah untuk menubuhkan parti politik.

Ini jelasnya, asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Di Malaysia, parti politik yang ditubuhkan mencecah puluhan. Ada yang aktif dan ada yang tak aktif. Ada yang ‘beli’ parti yang ditubuhkan (namun tidak aktif) sekali dengan perlembagaan dan kemudian tukar nama.

“Itu hak individu di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk berpersatuan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang “akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi” sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini tetapi tidak terikat menyokong PN atau PH.

Menjelaskan asas perjuangan parti politik baru yang belum dinamakan itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan “menghapus rasuah dan kleptokrasi.”

Tegas beliau lagi, perjuangan wadah politik baru itu “berasas semangat, bukan duit.”

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam maklum balasnya semalam mengenai langkah politik terbaru bekas perdana menteri menubuhkan parti baru itu, berkata, “itu terpulang Tun Mahathir.”

“Malaysia sebuah negara demokrasi, tiada siapa boleh halang untuk tubuh parti.”

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here