Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM905.9 juta minggu lalu

Pelabur asing lupus RM905.9 juta minggu lalu

Kuala Lumpur, MI: Penjualan asing ekuiti tempatan di Bursa Malaysia melonjak kepada RM905.9 juta pada minggu lalu berbanding RM270 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, ia adalah minggu ke-22 berturut-turut penjualan bersih asing.

Setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM17.8 bilion ekuiti tempatan.

Katanya, berbanding dengan enam pasaran Asia lain, Malaysia berada pada kedudukan terkecil aliran keluar asing sehingga kini.

Firma penyelidikan itu menambah, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar asing setiap hari sepanjang minggu lalu.

Ketika pasaran dibuka kembali pada hari Isnin, pelabur asing menjual RM77.1 juta – aliran keluar asing terendah pada minggu lalu.

Aliran keluar bersih asing meningkat pada hari Selasa kepada RM220.2 juta, seiring dengan pengumuman kenaikan kadar pengangguran Malaysia kepada 5.3% pada Mei 2020 dari 5% pada bulan April 2020, yang mencerminkan kejatuhan ekonomi sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, aliran keluar asing berkurangan pada hari Rabu dan Khamis lalu masing-masing pada kadar RM207.3 juta dan RM132.5 juta disebabkan berita positif untuk vaksin Covid-19.

MIDF Research menambah, ketika bursa dibuka semula pada hari Jumaat setelah menghentikan perdagangan, ia merekodkan aliran keluar bersih tertinggi iaitu RM268.7 juta.

Walaupun begitu, FBM KLCI mencatatkan kenaikan satu hari tertinggi sejak 3 Jun 2020 iaitu sekitar 2% hingga 1,596.3 mata pada hari yang sama, ia mungkin didorong oleh pemulihan kukuh kaunter-kaunter peserta industri sarung tangan.

Berbanding dengan tiga rakan ASEAN lain, Malaysia mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi, sementara Thailand mengalami aliran keluar bersih asing paling sedikit.

Dari segi penyertaan, kumpulan runcit dan institusi mencatatkan kenaikan mingguan dalam nilai purata perdagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak 21.7% dan 18.2%.

Manakala pelabur asing mengalami kenaikan ADTV paling rendah mingguan sebanyak 6.3% untuk mencapai RM1.4 bilion, iaitu melepasi paras baik.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here