Beranda Politik Pemuda PH Sabah: Elak Perangkap Politik Pecah Belah

Pemuda PH Sabah: Elak Perangkap Politik Pecah Belah

Kuala Lumpur, MI: Semua pimpinan pemuda komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu mengelak daripada terjerumus dalam perangkap permainan politik yang boleh memecah-belahkan hubungan sesama rakan komponen.

Menurut Setiausaha Pemuda PH Sabah Razeef Rakimin, adalah diharapkan agar pimpinan Pemuda PH Sabah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui atau yang bercanggah dengan keputusan PH Pusat berkaitan pemilihan Perdana Menteri PH Plus.

“Adalah menjadi aspirasi bagi Pemuda PH Sabah untuk mempunyai Perdana Menteri dari Sabah. Namun kriteria dalam menentukan siapa yang lebih layak perlu diambil berat dalam memilih calon Perdana Menteri terutamanya dalam isu memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata beliau, PH Pusat kini sedang dalam usaha bagi mengambil semula mandat rakyat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

“Dan jika berjaya, kita boleh kembali semula ke landasan serta memenuhi semua janji yang telah dibuat seperti pelaksanaan janji dalam manifesto, proses peralihan kuasa seperti yang termaktub dalam Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan serta mengangkat dan memenuhi agenda reformasi yang sekian lama diperjuangkan.

“Maka, pengukuhan muafakat antara parti komponen Pemuda PH Sabah serta Wira Warisan dan Pemuda UPKO adalah keutamaan bagi membentuk jentera pilihan raya Pemuda yang kuat bagi mendepani PRU Ke-15 sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini,” jelas Razeef.

Berkenaan isu calon PM, Pemuda PH Sabah sekali menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu senada dengan keputusan PH Pusat.

“Setakat ini kami dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan akan bermesyuarat pada Jumaat ini dan kita akan menunggu jika ada sebarang keputusan atau perkembangan terkini daripada mesyuarat berkenaan,” tambahnya.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here