Home Politik Penyokong Najib Cadang MP Umno Tarik Diri Dari Sokong Muhyiddin

Penyokong Najib Cadang MP Umno Tarik Diri Dari Sokong Muhyiddin

Kuala Lumpur, MI: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan agar semua Ahli Parlimen Umno menarik diri dari memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penyokong kuat Datuk Seri Najib Razak yang dipecat dari MT Umno itu berkata, jika 23 sahaja dari MP Umno sedia undur diri, kerajaan PN akan jatuh.

Lokman berkata demikian melalui siaran langsung menerusi Facebook beliau yang dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan RM210 juta denda ke atas Najib.

Sehingga pagi ini, lebih 60,000 telah menyaksikan siaran ini dengan 650 pengguna telah turut berkongsi siaran ini menerusi akaun mereka.

“Kalau kita boleh tarik diri, pilihan raya umum akan diadakan pada masa terdekat,” kata beliau dalam siaran itu.

Menurut Lokman, peluang terdekat yang perlu digunakan adalah semasa perbentangan Belanjawan 2021 yang dijangka akan dibuat pada bulan Oktober nanti.

Lokman yakin, Pas akan terus bersama dengan Umno jika apa yang dibuat ini berjaya.

“Saya yakin Pas tak pergi kepada Muhyiddin manakala akar umbi pula akan terus bersama dengan Najib,” kata beliau.

Lokman menjelaskan, Umno tidak boleh berharap kepada kumpulan ahli Parlimen Umno yang dipimpin oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin kerana mereka bila-bila masa boleh lari dari Umno.

Atas dasar itulah, katanya, jumlah minima yang diperlukan adalah 23 MP Umno menyokong usul ini.

Mereka memerlukan 23 MP kerana yakin enam MP yang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan sembilan MP Warisan akan menyokong Muhyiddin jika undi ini dijalankan.

“Ini kerana saya yakin Azmin akan mampu menarik sekurang-kurangnya empat MP lagi,” kata Lokman dalam siaran itu.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here