Home Ekonomi PH: Tarikh Balik Faedah Pinjaman Bank Semasa Moratorium

PH: Tarikh Balik Faedah Pinjaman Bank Semasa Moratorium

Kuala Lumpur, MI: Menteri Kewangan digesa agar segera mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mempertimbang semula pendirian berkaitan faedah moratorium yang menjadi bualan hangat semalam.

Gesaan itu dilakukan oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang turut menuntut agar bank-bank tidak mengenakan sebarang kadar faedah selama moratorium berkuatkuasa.

Majlis Setiausaha PH berkata, ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi mencabar seperti hari ini, sektor perbankan sepatutnya turut sama berkorban demi kepentingan negara dan rakyat.

“Penyelesaian bersifat ‘separuh jalan’ seperti pengenaan kadar faedah ketika moratorium pembayaran balik pinjaman dilaksana hanya mengukuhkan persepsi bahawa sektor perbankan tidak peduli nasib rakyat yang semakin tertekan.

“Majlis Setiausaha kesal di atas ketiadaan penyelarasan di antara ucapan YAB Perdana Menteri pada 27 Mac dengan kenyataan BNM semalam amat mengelirukan dan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Pendirian BNM dan ABM bahawa bank-bank boleh mengenakan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang telah dikenakan moratorium, memberikan gambaran sektor perbankan tidak mengendahkan nasib rakyat yang semakin terhimpit hari ini,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong.

Menurut Majlis Presiden lagi, pihaknya yakin bahawa dasar berkenaan walaupun menjejaskan kadar keuntungan bank dalam jangka masa pendek, namun ia tidak akan menyebabkan sektor perbankan mengalami kerugian dalam jangka masa panjang.

“Ketika ekonomi negara cukup terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, dan semakin hari semakin banyak laporan berita mengenai hotel dan syarikat yang ditutup serta pekerja yang dipotong gaji dan hilang pekerjaan, seharusnya sektor perbankan lebih prihatin tentang nasib rakyat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, para netizen mengedarkan kembali penyataan Bank Negara dalam bentuk soal jawab mengenai pemansuhan faedah terhadap moratorium itu.

Ini berikutan kenyataan Bank Negara Malaysia bahawa mereka tidak pernah U-Turn atau menarik balik tawaran pemansuhan faedah yang perlu dibayar kepada bank ketika peminjam diberikan moratorium bayaran balik pinjaman bank.

Temubual Menteri Kewangan, Tengku Datuk Zafrul dengan dua wartawan Astro Awani juga ditayangkan kembali.

Dalam temubual itu, Tengku Zafrul jelas mengatakan tidak ada faedah dikenakan ke atas peminjam ketika moratorium itu.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here