Beranda Ekonomi PKP: Pengusaha pelamin jual kambing perap

PKP: Pengusaha pelamin jual kambing perap

KUALA BERANG, 21 Jun  — Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu ungkapan yang sesuai buat dua belia yang membuat pelamin mengubah haluan  sebagai pengusaha kambing perap demi kelangsungan hidup selepas pelanggan membatalkan tempahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Mohd Rizduan Mat Lela, 31, dan rakannya Saiful Hakim Rozmi, 26, dari Felda Jerangau Barat, Ajil, Terengganu yang merupakan pengusaha pelamin perkahwinan berkata beliau dan rakannya terpaksa mengubah kerjaya selepas mengalami kerugian susulan ramai pelanggannya yang membatalkan tempahan pelamin untuk majlis Mac hingga Disember tahun ini.

“Masa PKP diumumkan pada Mac, memang rasa agak sedih dan tertekan bila lebih 30 pelanggan membatalkan tempahan pelamin dan baju sebab majlis perkahwinan tak dapat dilangsungkan. Untuk pelanggan yang membuat tempahan khas baju pengantin, kami terpaksa tanggung kerugian hampir RM2,000 hingga RM3,000 untuk seorang pelanggan sebab baju kami tempah dengan tukang jahit.

“Memang agak runsing memikirkan duit sebab wang simpanan pun dah habis. Saya dan rakan saya ada komitmen masing-masing. Nak belanja makan pun terpaksa berjimat,” katanya kepada Bernama.

Tidak mahu terus berputus asa dan hanya bergantung pada takdir, Mohd Rizduan yang mempunyai minat dalam bidang masakan mencuba nasib mengusahakan perniagaan kambing perap bagi mencari duit poket, bermula April lalu.

“Sebelum ni, saya memang minat memasak dan pernah juga menjual kek secara kecil-kecilan selepas tamat sekolah. Idea untuk jual kambing perap ini timbul selepas saya dan rakan membeli kambing bakar di sebuah gerai yang harganya agak mahal, tetapi tidak berpadanan dengan harga kerana isinya hanya sedikit.

“Biasanya, di pasar malam kambing bakar mahal harganya tetapi isinya hanya dapat sedikit. Jadi, saya buat keputusan untuk jual dengan harga yang berpatutan dan ia dapat dinikmati sekeluarga,” katanya yang menjual kambing yang telah diperap dengan harga RM40 sekilogram.

Mohd Rizduan berkata untuk menghasilkan perapan kambing yang enak, beliau menggunakan ramuan tersendiri termasuk beberapa jenis sos dan rempah ratus.

Beliau menggunakan platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram serta aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan pelanggan sebelum membuat khidmat penghantaran ke beberapa daerah di Terengganu termasuk Dungun, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Rezeki PKP, ramai juga pelanggan yang rindukan lamb chop di restoran, beli kambing perap untuk makan bersama keluarga di rumah sebab masih ramai orang memilih untuk makan di rumah walaupun dah boleh makan di luar.

“Mungkin ini hikmah di sebalik PKP, selepas ini jika keadaan kembali pulih (menerima tempahan pelamin), insya-Allah saya akan buat dua perniagaan dalam satu masa. Bolehlah jadikan pendapatan sampingan. Sambil buat pelamin, boleh jual kambing perap,” katanya yang menjual sehingga 15 kilogram kambing perap sehari.

— BERNAMA

Source: Bernama
Editor: Alvin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here