Home Politik Sekat kebebasan media, kerajaan bersikap autoritarian

Sekat kebebasan media, kerajaan bersikap autoritarian

Kuala Lumpur, MI: DAP mengecam tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera, Astro dan Unifi TV kerana akan memberi kesan yang buruk terhadap prinsip kebebasan akhbar dan maklumat serta ke atas profesionalisme pengamal media.

Ini kerana, demi mengelak daripada tindakan perundangan di masa depan, pengamal media akan terpaksa mengamalkan tapisan kendiri, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, keadaan itu sudah terbukti bukan setakat dalam media arus perdana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu malah dalam media bahasa Cina.

Sebelum pertukaran Kerajaan Persekutuan, media arus perdana bahasa Cina utama akan memberikan ruang liputan yang lebih besar kepada parti-parti pembangkang berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH)

Namun, selepas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih, keadaan menjadi terbalik.

Malah, beberapa orang wartawan kanan mereka memainkan peranan yang aktif mendukung dasar-dasar PN, dakwanya.

”Tindakan menindas oleh kerajaan menunjukkan PN tidak mempedulikan prinsip kebebasan akbar dan maklumat dan mereka lebih berminat untuk membungkam suara alternatif bagi memaksa pematuhan dan mewujudkan iklim autoritarian yang tidak boleh menerima sebarang kritikan, waima pandangan yang bernas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan PN tidak memberi maklum balas kepada permintaan Al Jazeera untuk mendapatkan pandangan kerajaan sebaliknya memilih untuk menghukum Al Jazeera.

Tindakan itu dilihat umum sebagai salah guna kuasa dan Menteri Komunikasi dan Multimedia kini bagai sesumpah bertukar warna, apabila beliau secara terbuka menyokong tindakan menindas tersebut dan bukan kebebasan akbar dan maklumat, dakwanya.

Demi kepentingan awam, kerajaan perlu menghentikan tindakan sedemikian serta merta jika PN betul-betul komited untuk mendukung demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan, katanya.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here