Home Nasional Seleweng RM42 Juta Dana SRC: Nasib Najib Ditentukan Hari Ini

Seleweng RM42 Juta Dana SRC: Nasib Najib Ditentukan Hari Ini

Kuala Lumpur, MI: Hari ini sekitar jam 10 pagi bakal menentukan nasib Datuk Seri Najib Razak sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Tarikh hari ini ditetapkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar hujahan penutup dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan selama lima hari sejak 1 Jun lalu.

Sehubungan itu, mahkamah akan menimbang semua bukti dan keterangan dan akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 182A(1) Kanun Acara Jenayah.

Sebanyak 2,000 muka surat hujahan yang panjang dan lengkap daripada kedua-dua pihak selepas hampir dua tahun satu bulan kes perbicaraan tersebut berlangsung.

Sejumlah 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger sepanjang perbicaraan yang turut mendapat perhatian dunia itu.

Najib dituduh buat kali pertama pada 4 Julai 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 dengan pihak pendakwaan diketuai bekas peguam negara Tommy Thomas kemudiannya digantikan Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V Sithambaram.

Perbicaraan selama 94 hari itu menyaksikan 96 orang memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan.

Pada 11 November tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Najib, 67, didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, bekas Pengerusi BN itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan tersebut yang diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram, manakala Muhammad Shafee Abdullah ialah peguam utama pihak pembelaan.

Najib juga dibicarakan atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC yang akan bermula 5 Julai tahun depan.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here