Beranda Politik Shafie Calon PM, AMANAH Serahkan Kata Putus pada Majlis Presiden PH

Shafie Calon PM, AMANAH Serahkan Kata Putus pada Majlis Presiden PH

Shafie said

Kuala Lumpur, MI: Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional sepakat mengatakan bahawa perbincangan berhubung pencalonan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad berkata, ini demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani perselisihan yang sedang berlaku ketika ini.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan Ahli Parlimen bagi Pakatan Harapan membentuk semula kerajaan.

“Setelah mengambil pandangan dari semua ahli-ahli mesyuarat, JKP Nasional AMANAH menganggap bahawa persoalan ini perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa AMANAH, DAP, WARISAN dan Tun Dr Mahathir bersetuju mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan yang tidak formal.

Bagaimanapun, dalam kenyataan bersama, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata cadangan tersebut masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat AMANAH dan DAP serta Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu

Sementara itu, Khalid berkata, mesyuarat masih berpendirian tegas bahawa persoalan mengambil kembali kerajaan adalah perkara yang perlu diutamakan.

“Mesyuarat JKP Nasional dengan ini bersetuju untuk merujuk perbincangan berkaitan pencalonan Perdana Menteri kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama,” katanya.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here