Beranda Politik Shafie PM, Penganalisis : Gelombang Baru Kembalikan Semula Mandat Rakyat

Shafie PM, Penganalisis : Gelombang Baru Kembalikan Semula Mandat Rakyat

Shafie said

Kuala Lumpur, MI: Langkah Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan strategi mengetengahkan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bakal mencetuskan gelombang baru dalam usahanya merampas semula mandat rakyat dari tangan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, strategi ini mencetuskan sentimen Borneo yang melihat perkara ini satu pengiktirafan kepada anak bumi mereka.

“Tun Mahathir dilihat cuba memusatkan sokongan Borneo dalam situasi AMANAH dan DAP yang memiliki 53 kerusi parlimen menyokongnya serta dalam jangkaan sokongan Azmin Ali dan Hishamudin kepadanya juga.

“Beberapa MP PKR yang goyah juga dijangka mampu untuk ditarik Tun Mahathir dalam percaturan baru ini,” kata Mazlan dalam analisis beliau kepada Malaysia Dateline.

Tun Mahathir dalam satu kenyataannya mencadangkan agar Shafie dicalonkan sebagai perdana menteri, Datuk Seri Anwar TPM 1 dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai TPM 2.

Ekoran itu, AMANAH dan DAP dalam satu kenyataan mereka memberitahu, perkara ini akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diambil keputusan.

Dengan perkembangan mutakhir ini, kata Dr Mazlan, Tun Mahathir dijangka tidak sukar untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 116 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Ia akan diuji apabila Pas membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang Dewan Rakyat bermula 12 Julai ini.

Ia juga akan diuji melalui usul Perdana Menteri untuk memecat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Meng.

SENTIMEN POLITIK BORNEO

“Jika dibuat literatur tentang politik Borneo, kita boleh membuat satu kesimpulan tentang hasrat terpendam Borneo yang sudah lama ingin mencapai status “sama taraf” dalam Persekutuan Malaysia,” kata Mazlan.

Sejak penubuhan Malaysia tahun 1963, masih belum ada pemimpin Borneo yang pernah mencapai tahap tertinggi dalam politik Malaysia selain Shafie Apdal yang pernah menjadi Naib Presiden Umno, katanya.

Bagi beliau, strategi Tun Mahathir menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri PH 2.0+ ini adalah satu eksperimen yang agak berbaloi.

“Sekiranya sentimen politik Borneo ini menguasai kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, gelombang baru ini mampu menyekat kemaraan Muafakat Nasional Umno-Pas.

“Naratif Muafakat Nasional yang semakin meluas di kalangan Melayu boleh dineutralkan oleh sentimen Borneo yang membentuk sejumlah besar bilangan kerusi Parlimen di negara ini,” kata beliau.

Katanya, Tun Mahathir sememangnya tidak kuat jika dibandingkan dengan PH dan Anwar.

“Tetapi Mahathir adalah “galah sejengkal” yang telah membantu menobatkan PH ke Putrajaya pada 9 Mei 2018 yang lalu,” katanya.

Bagi beliau, kehadiran Tun Mahathir membawa sejumlah “swing” undi Melayu telah menumbangkan beberapa kerusi di kawasan kubu tradisi Umno seperti penempatan Felda dan kampung tradisi di luar bandar kepada PH dalam PRU 14 lalu.

“Kekurangan Anwar dan rakan-rakannya dalam PH adalah kawasan penempatan Felda dan Melayu luar bandar,” katanya.

Bagi pensyarah UTM itu, di sinilah titik lemahnya PH.

“Kekuatan PH di kawasan bandar dan semi bandar bagaimanapun tiada siapa yang boleh pertikaikannya.

“Saya fikir PH tanpa Tun Mahathir pada PRU-15, akan suram. Sebab tu saya melihat sokongan AMANAH dan DAP terhadap Tun pada masa kini adalah bersifat strategik, bukan politik hari ini semata-mata, tetapi juga politik di masa depan,” tegas beliau.[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here