Home Politik Tiada Jalan Mati Buat PH Plus Tawan Kembali Putrajaya

Tiada Jalan Mati Buat PH Plus Tawan Kembali Putrajaya

Kuala Lumpur, MI: Selama empat bulan gabungan pembangkang gagal mencapai kata sepakat mencari calon perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin. Ia dilihat melunturkan momentum yang diharapkan rakyat, malah membuatkan banyak pihak bosan dengan sikap pemimpin pembangkang yang nampak mementingkan posisi masing-masing.

Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan melalui proses “rampasan kuasa” pada 1 Mac lalu. Kerajaan pintu belakang yang dipimpinnya, hasil pengkhianatan beberapa ahli Parlimen Bersatu dan PKR, dengan kerjasama wakil-wakil rakyat BN, Pas, GPS, dilihat dalam keadaan goyah dan boleh tumbang bila-bila masa.

Masa yang sama, pertelingkahan di antara parti- parti utama dalam gabungan rapuh Perikatan Nasional (PN) itu, Umno dan Bersatu, tidak dapat disembunyikan.

Masing-masing ingin menjadi parti Melayu paling dominan; situasi lebih sulit dijangka berlaku menjelang proses agihan kerusi PRU-15. Sekurang-kurangnya tiga parti sekutu bakal berebut kerusi di konstituensi sama, iaitu Umno, Bersatu dan Pas.

Malang sekali, sewaktu kerjasama longgar PN dilanda konflik serius, pembangkang juga diamuk masalah dalaman berpanjangan dan nampak tiada penyelesaian. Pakatan Harapan (PH) memang tinggal tiga parti teras, iaitu PKR, AMANAH dan DAP.

Bersatu keluar daripada gabungan itu hujung Februari lalu, melorongkan kerajaan PH runtuh. Bersatu berpecah dua, di antara penyokong Muhyiddin dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dan empat ahli Parlimen dipecat keahlian Bersatu melalui kaedah yang dipersoalkan. Namun begitu kumpulan Dr Mahathir dan Warisan pimpinan Shafie Apdal bersekutu dengan tiga parti reformasi tadi, membentuk PH+.

Punca perselisihan gabungan pembangkang itu adalah perbedaan pendapat tentang calon perdana menteri jika usaha mengembalikan mandat rakyat PRU-14 berjaya dilakukan.

Di peringkat awal, dua opsyen dikemukakan, terbuka kepada yang mana lebih praktikal untuk meraih sokongan yang cukup (munimum 112) daripada ahli-ahli parlimen. Pertama, kombo Anwar-Mukhriz Mahathir sebagai calon PM-TPM. Kedua, regu Mahathir-Anwar sebagai pasangan kepemimpinan utama; dengan syarat Mahathir akan berundur selepas enam bulan berkuasa.

Selepas tempoh masa yang diperuntukkan berlalu, Anwar gagal memperolehi cukup sokongan, justeru opsyen kedua dikemukakan.

Sebelum Mahathir dapat membuktikan beliau dapat meraih “cukup bilang”, pilihan ini awal-awal lagi ditolak PKR. Mereka berkeras mahu Anwar sebagai satu-satunya calon PM.

Penyokongnya sudah hilang kepercayaan kepada Mahathir. Alasan mereka, janji peralihan kuasa selepas dua tahun PH memerintah dulu pun gagal ditunaikan oleh Mahathir.

Bersatu keluar PH akhir Februari lalu sekali gus meruntuhkan kerajaan hanya selepas 22 bulan mendapat mandat rakyat. .

AMANAH dan DAP mengambil sikap lebih terbuka. Kedua-dua parti ini memberi peluang kepada opsyen yang dapat mengembalikan mandat rakyat, sekali gus menamatkan pemerintahan PN yang mewarisi budaya regim Barisan Nasional (BN) itu.

Jika cadangan kombo Mahathir-Anwar boleh mendapat sokongan minimum yang diperlukan, mengapa tidak opsyen ini dipilih? Yang penting mandat rakyat dapat dikembalikan sesegera mungkin.

Keretakan dalam PH tidak dapat disembunyikan lagi. Media sosial bukan gambaran sebenar hubungan yang renggang itu tetapi ia cukup untuk membayangkan sikap syak wasangka dan saling curiga yang tebal di antara penyokong Mahathir-Anwar.

Lebih menyedihkan, pendukung PKR dan penyokong AMANAH-DAP saling menuduh dan melemparkan panggilan jelek. Habis diungkit kisah-kisah lama, sebahagiannya ditokok-tambah atau diceritakan dalam versi baru.

Mungkin ketiga-tiga opsyen itu gagal direalisasikan, dan PRU-15 secara mengejut adalah pilihan yang terpaksa ditempuh, namun lebih memeritkan apabila tiga parti reformasi — PKR-AMANAH-DAP — yang mempunyai sejarah panjang itu terburai persefahaman ekoran krisis ini.

Penyokong masing-masing pastinya berada dalam dilema jika keutuhan PH gagal dipertahankan. Ditambah pula dengan kemungkinan koalisi baru bakal terbentuk.

Gabungan baru nanti mungkin melibatkan gerombolan pengkhianat dan individu-individu yang bertanggungjawab meruntuhkan kerajaan PH. Itu pun jika misi mengembalikan mandat rakyat PRU-14 akan diteruskan juga, dalam situasi PH gagal mencapai persepakatan.

Secara umumnya, walaupun PH dilanda masalah menguruskan perbedaan, ketiga-tiga parti tersebut masih dilihat mempunyai banyak persamaan terutama tentang idealisme perjuangan sejak 1998. Memang AMANAH baru berusia empat tahun tetapi hampir semua pemimpin utamanya merupakan penggerak aktif Pas dan mewarisi tradisi kepembangkangan zaman berzaman.

Maknanya, tidak mudah menghadapi konflik dalaman ini khususnya di peringkat penyokong akar umbi. Hatta seorang aktivis Armada Bersatu sendiri mengakui beliau lebih selesa bersama PKR kerana berkongsi banyak prinsip perjuangan, berbanding dengan Umno dan Pas.

Pengalaman singkat pentadbiran PN cukup menakutkan, katanya; lebih ghairah mengagihkan ghanimah dalam bentuk jawatan berimbuhan lumayan dan menguruskan projek kerajaan seperti rejim BN dulu, yang dilihat sarat dengan kronisme-nepotisme dan salah guna kuasa.

Justeru, buat para pemimpin PH dan Bersatu-Mahathir, serta Warisan, uruskanlah perselisihan ini dengan bijaksaha dan jujur. Sesulit mana pun pertembungan yang berlaku, dalam politik tiada jalan mati.

Dr Mahathir selalu berpesan, koalisi di antara parti-parti yang berbeda sentiasa menuntut pengorbanan. Berundur setapak tidak bermakna menyerah kalah. Usah mengharapkan pihak yang bersaing, beralah lebih dulu. Rendahkan sedikit ego dan lihat konteks lebih besar.

Kuasa mungkin dapat direbut semula tetapi bagaimana dengan nasib agenda pembaharuan yang terhenti itu? Pengalaman dan eksperimen 22 bulan sepatutnya menyuntik banyak iktibar dan dapat menghindari kesilapan sama.

Diharap kita juga lebih sensitif dan cepat menghidu sentimen negatif yang dibakar seteru politik. Agenda reformasi sahaja tidak memadai; perang persepsi harus dijuarai.

Mampukah pasukan baru nanti memikul tanggungjawab besar dan mendesak itu, jika ia turut melibatkan personaliti atau parti yang dicurigai?[md]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here