Home Ekonomi Tiga model popular Perodua jadi kereta terlaris di Malaysia

Tiga model popular Perodua jadi kereta terlaris di Malaysia

Kuala Lumpur, MI: Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 9.2 peratus kepada 23,203 kenderaan pada Julai berbanding bulan sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan setakat tahun ini meningkat kepada 97,373 unit.

Syarikat pengeluar kenderaan itu dalam kenyataannya menjangkakan penguasaan pasaran Julai adalah 40 peratus manakala penguasaan pasaran setakat tahun ini adalah 42 peratus diterajui oleh Myvi, Axia dan Bezza.

“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah meningkat kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Ketiga-tiga model popular keluaran Perodua itu menduduki tangga teratas dari segi jualan setakat tahun di Malaysia dengan Myvi merekodkan 29,313 jualan diikuti Axia (28,107) dan Bezza (25,416).

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

“Di sebalik krisis COVID-19 ini, kami menyedari bahawa kami harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu.

“Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90 peratus dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh,” katanya lagi.

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here