Home Politik UMMAH Desak Polis dan SPRM Siasat Tun M, Tommy dan Guan Eng

UMMAH Desak Polis dan SPRM Siasat Tun M, Tommy dan Guan Eng

Kuala Lumpur, MI: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menghantar memorandum desakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar siasatan dilakukan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Tommy Thomas dan Lim Guan Eng.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH bersama jalinan sembilan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan menyerahkan memorandum itu di Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara pada 19 Ogos ini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut beliau, pada hari itu juga, NGO berkenaan akan menghantar memorandum sama kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, Tun Dr. Mahathir ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, bersama Tommy selaku Peguam Negara dan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu, dikatakan telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan pembatalan pembekuan akaun bank taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng.

“Bermula 11 Ogos lalu sehingga hari ini, sebanyak sembilan laporan polis telah dibuat oleh NGO di seluruh negara dan laporan akan terus dibuat sehingga hari kita serahkan memo desakan ini kepada Perdana Menteri, Peguam Negara, SPRM dan KPN pada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media UMMAH di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, hari ini.

Turut bersama, Setiausaha Agung MPM, Datuk Prof. Dr. Hasan Mad, dan Pengerusi UMMAH Perak, Datuk Drs. Khalil Idham Lim Abdullah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan salinan surat menunjukkan campur tangan Dr. Mahathir, Guan Eng dan Tommy untuk mengarahkan pembatalan pembekuan aset Lim Soon Peng berkaitan kes 1MDB sebanyak RM4 juta.

Menurut Takiyuddin, salinan surat itu telah dihantar kepada SPRM pada 20 Oktober 2018 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Jelas Mohd Zai, UMMAH dengan tegas menolak sebarang unsur campur tangan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerana perbuatan itu mengundang kepada gejala rasuah.

“Polis, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mesti menyiasat serta menyelesaikan isu ini supaya gejala rasuah dapat ditangani,” katanya.[mg]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here