Home Ekonomi Wabak Covid-19, Harga Minyak AS Menjunam Cecah Angka Negatif

Wabak Covid-19, Harga Minyak AS Menjunam Cecah Angka Negatif

Kuala Lumpur, MI: Ekoran penularan wabak Covid-19, harga minyak Amerika Syarikat (AS) menjunam ke tahap terendah dalam sejarah apabila mencecah angka negatif, semalam.

Lapor AFP, kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate, ditutup pada harga -AS$37.63 setong (kira-kira -RM165 setong) untuk penghantaran Mei.

Kontrak untuk Mei ditutup, hari ini, sekali gus bermaksud pedagang komoditi itu yang ingin meraih keuntungan perlu mencari pembeli minyak terbabit dengan segera, namun berdepan kekangan permintaan rendah dalam pasaran ketika ini.

Guardian melaporkan harga negatif itu bermaksud pengeluar minyak terpaksa membayar pembeli untuk mengambil bahan bakar itu daripada mereka berikutan fasiliti simpanan sudah penuh.

Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump berjanji akan memanfaatkan situasi itu untuk mengisi Rizab Strategik Petroleum negara itu tertakluk kepada kelulusan Kongres.

“Kita akan mengisi rizab petroleum kebangsaan kita… anda tahu, rizab strategik,” kata Trump pada sidang media, semalam.

Menurutnya, AS akan menambah sehingga 75 juta tong minyak mentah ke fasiliti terletak di Teluk Mexio itu. Trump kemudian menjelaskan, beliau hanya akan membuat pembelian itu jika Kongres meluluskan dana bagi tujuan berkenaan – atau jika Kerajaan Persekutuan dapat menyewakan ruang penyimpanan kepada pihak ketiga untuk bayaran tertentu.

Apabila harga kembali pulih nanti, vendor terbabit boleh menjual lebihan stok minyak yang dimiliki. Pada 13 Mac lalu, Trump mengumumkan hasratnya untuk menambah Rizab Petroleum Strategik (SPR) AS dengan sebanyak mungkin.

Setakat 17 April lalu, ia memiliki 635 juta tong daripada keseluruhan had 713.5 juta tong yang dibenarkan ketika ini, dipetik AFP.

Disimpan di dalam sebuah kompleks di empat tapak bawah tanah sepanjang teluk pantai Texas dan Louisiana di selatan AS, SPR itu mempunyai kapasiti penyimpanan berjumlah 727 juta tong.

Ia untuk kegunaan pada waktu kecemasan seperti ketika Perang Iraq 1991 atau selepas bencana Taufan Katrina pada 2005.[MD]

Source:
Editor: Ahza Abdul Basit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here