ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dikhuariti lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Lebuhraya Linkedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura pada malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Azlan Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 8.20 malam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diatur gerak bagi mengesan mangsa berusia 33 tahun yang juga warga tempatan itu.
“Seramai 51 orang anggota dari pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi SAR ini, termasuk Pasukan Gerakan Marin PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta anggota dari IPD Iskandar Puteri.
“Operasi mencari mangsa masih dijalankan sehingga hari ini dengan menggunakan bot dan melibatkan semua jabatan dan agensi yang terlibat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azlan berkata, siasatan awal kes disiasat di bawah kes orang hilang (OH) dan polis masih mengesan maklumat tentang keberadaan mangsa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Jambatan Lebuhraya Linkedua appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2025/12/29/lelaki-dikhuatiri-lemas-selepas-terjun-jambatan-lebuhraya-linkedua/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=lelaki-dikhuatiri-lemas-selepas-terjun-jambatan-lebuhraya-linkedua




