KUALA LUMPUR – Tawaran pembelian emas menggunakan skim Buy Now Pay Later (BNPL) atau SpayLater dengan kadar faedah sifar peratus sering dianggap menguntungkan pengguna, namun hakikatnya ia menimbulkan persoalan serius dari sudut hukum syariah, khususnya melibatkan unsur riba.
Pemerhati kewangan Islam, Safuan Borhan menjelaskan bahawa emas tergolong dalam kategori barang ribawi, sama seperti mata wang, dan tertakluk kepada hukum jual beli khas dalam fiqh muamalat yang dikenali sebagai bay’ al-sarf.
Menurut beliau, dalam transaksi bay’ al-sarf, syarat utama yang mesti dipenuhi ialah penyelesaian bayaran dan penyerahan barang hendaklah berlaku secara serta-merta dalam satu majlis akad.
“Dalam jual beli emas, bayaran mesti dibuat secara tunai dan emas mesti menjadi milik pembeli pada masa yang sama. Jika bayaran ditangguhkan, walaupun emas diterima dahulu, ia tetap bermasalah dari sudut syariah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pembayaran secara ansuran, sama ada enam bulan atau 12 bulan, diletakkan oleh majoriti ulama di bawah kategori riba nasi’ah, iaitu riba yang berlaku akibat penangguhan bayaran dalam pertukaran barang ribawi.
Safuan menegaskan bahawa isu utama bukan terletak pada kadar faedah sifar peratus seperti yang sering dipromosikan, sebaliknya pada struktur sebenar akad dan aliran bayaran.
“Persoalan penting ialah sama ada penjual menerima bayaran penuh secara tunai, apakah kontrak sebenar yang dimeterai – jual beli emas atau pinjaman dengan pihak ketiga – serta sama ada wujud caj tersembunyi, penalti lewat bayar atau faedah yang menguntungkan pihak pemberi hutang,” jelasnya.
Menurut beliau, kebanyakan skim BNPL melibatkan pihak ketiga yang membayar harga emas secara tunai kepada penjual, manakala pembeli kemudiannya berhutang dengan penyedia BNPL.
“Jika hutang tersebut disertakan dengan faedah atau penalti lewat bayar yang memberi keuntungan kepada pemberi hutang, ia boleh jatuh kepada riba dalam kontrak pinjaman pula,” katanya.
Sehubungan itu, Safuan menyarankan beberapa garis panduan asas bagi memastikan pembelian emas dibuat secara patuh syariah.
Antaranya ialah pembayaran penuh dilakukan ketika akad sama ada melalui tunai, debit atau pindahan bank, emas menjadi milik pembeli serta-merta sama ada secara fizikal atau pemilikan sah (qabd), dan tiada sebarang unsur faedah atau penalti berbunga.
Bagi individu yang belum mampu membeli emas secara sekaligus, beliau mencadangkan supaya menyimpan wang terlebih dahulu sehingga mencukupi atau menggunakan platform simpanan emas yang jelas status pemilikan dan memenuhi syarat qabd.
“Jika terdesak memerlukan tunai, instrumen lain seperti ar-rahnu boleh dipertimbangkan, namun emas itu sendiri mesti dibeli secara tunai, bukan melalui ansuran,” katanya.
Safuan menegaskan bahawa keuntungan atau kenaikan harga emas tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu transaksi.
“Hukum syariah tidak bergantung kepada keuntungan, tetapi kepada akad dan cara bayaran yang digunakan,” katanya.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini



