KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) disifatkan sebagai parti paling bersedia dan sesuai untuk menerajui Perikatan Nasional, berasaskan kestabilan, konsistensi prinsip serta keupayaan tadbir urus yang dimilikinya.
Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, berkata dalam landskap politik yang sering dicirikan oleh ketidaktentuan, perpecahan dan perubahan kesetiaan, kepimpinan sesebuah gabungan perlu berteraskan kejelasan hala tuju, konsistensi moral dan kematangan strategi.
“Dalam konteks ini, PAS menonjol sebagai parti yang paling sesuai untuk memimpin Perikatan Nasional ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara kekuatan utama PAS ialah konsistensi parti itu dalam mempertahankan prinsip perjuangan, walaupun berdepan perubahan dan tekanan politik semasa.
“Dalam era di mana kepentingan politik jangka pendek sering mengatasi prinsip, PAS kekal dengan kompas ideologi yang jelas. Pendiriannya tidak dibentuk oleh arus politik sementara, sebaliknya berpaksikan nilai dan matlamat jangka panjang,” ujarnya.

Dr. Balachandran turut menegaskan bahawa PAS telah berulang kali membuktikan keteguhan dan kestabilan ketika berdepan pergolakan politik.
“Ketika pihak lain mudah terganggu oleh tekanan luaran, provokasi atau gangguan dalaman, PAS kekal fokus kepada pengukuhan organisasi, kerja akar umbi serta tadbir urus di negeri-negeri yang diamanahkan,” katanya.
Mengulas soal mandat, beliau berkata PAS kini memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN, sekali gus memberikan asas demokratik yang jelas untuk memimpin gabungan tersebut.
“Mandat ini bukan bersifat simbolik, tetapi mencerminkan keyakinan rakyat merentas pelbagai kawasan dan latar belakang, serta mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti tunjang dalam PN,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa PAS hari ini disokong oleh barisan kepimpinan yang semakin seimbang, melibatkan golongan profesional, ahli akademik, teknokrat, pakar ekonomi dan pentadbir.
“Gabungan kepimpinan berasaskan nilai moral dan kecekapan profesional ini membolehkan PAS menawarkan tadbir urus yang berprinsip tetapi pragmatik, satu formula penting untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Dari sudut pendekatan politik, Dr. Balachandran berkata PAS semakin menumpukan usaha meyakinkan rakyat melalui prestasi dan penyelesaian, bukan konfrontasi.
“Pendekatan yang menekankan keyakinan rakyat ini mampu memperluaskan sokongan PN di luar kelompok tradisi serta mengukuhkan kredibiliti gabungan itu sebagai sebuah pentadbiran yang bersedia memerintah,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa satu lagi kelebihan PAS ialah profil kepimpinan yang bebas daripada beban isu kredibiliti serius atau ‘political baggage’.
“Kepimpinan yang bersih penting bukan sahaja dari sudut persepsi awam, tetapi juga bagi memastikan keharmonian gabungan dan keberkesanan tadbir urus,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Balachandran berpandangan PAS berada pada kedudukan ideal untuk memimpin Perikatan Nasional dan seterusnya menawarkan negara satu fasa baharu kepimpinan.
“Kepimpinan bukan soal menguasai, tetapi soal memberi arah, keyakinan dan kesepaduan. Dalam hal ini, PAS bukan sahaja mampu memimpin PN, malah bersedia melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, kematangan dan visi masa depan Malaysia,” katanya.



