KUALA LUMPUR – Di sebalik imej tenang kepimpinan atasan, Perikatan Nasional (PN) kini berdepan gelora dalaman yang semakin sukar disorokkan.
Menurut sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya telah lama menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN kepada PAS, namun langkah itu berdepan tekanan kuat daripada kelompok tertentu dalam parti sendiri.
Sumber berkenaan memaklumkan, tekanan tersebut bukan lagi rahsia dalaman, malah telah dizahirkan secara terbuka apabila Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, tampil meminta Muhyiddin menarik balik hasrat peletakan jawatan, selain tindakan beberapa pemimpin utama Bersatu yang memegang jawatan dalam PN meletakkan jawatan secara beramai-ramai.
Menurut sumber itu, perkembangan berkenaan mengesahkan wujudnya penentangan jelas terhadap peralihan kuasa yang dirancang.
“Isunya bukan Muhyiddin dengan PAS. Tetapi isunya adalah orang sekeliling yang tak mahu lepaskan kuasa,” kata sumber tersebut.
Sumber sama turut memaklumkan, pertemuan Muhyiddin dengan PAS hari ini berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni, sekali gus menolak dakwaan kononnya wujud ketegangan antara kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Menurut sumber, Muhyiddin tidak mahu PN berakhir sebagai gabungan yang retak akibat perebutan jawatan, apatah lagi jika beliau dianggap sebagai punca perpecahan.
Faktor kesihatan juga menjadi pertimbangan utama dalam hasrat beliau untuk berundur secara terhormat sebagaimana dinyatakan ketika bertemu Tan Sri Annuar Musa di London.
Namun, pendirian itu dikatakan bertembung dengan kepentingan politik kelompok tertentu, khususnya menjelang PRU16.
Desakan terbuka oleh Tun Faisal disusuli sokongan Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, serta beberapa lagi pemimpin yang sering dikaitkan sebagai ‘team Azmin’, memperlihatkan tekanan tersebut tersusun dan dibalut dengan alasan kestabilan, namun sarat dengan kepentingan peribadi.
Menurut sumber sama, tekanan sebenar datang daripada pemimpin peringkat pertengahan dan kumpulan strategik, yang melihat kedudukan Pengerusi PN sebagai penentu laluan pencalonan dan pengaruh politik mereka.
Sebahagian daripada kelompok ini dilihat aktif memujuk dan menekan supaya Muhyiddin kekal, walaupun jelas hasrat beliau adalah untuk berundur secara terhormat.
Situasi bertambah sensitif apabila timbul dakwaan melibatkan Azmin Ali, yang menurut sumber dalaman, kerap mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di luar kerangka rasmi PN.
Terbaharu, satu pertemuan Azmin-Anwar di Jepun turut diperkatakan dalam kalangan pimpinan, walaupun butiran perbincangan tidak disahkan secara terbuka.
“Apabila orang atas nak undur secara baik, tapi orang sekeliling main peranan sendiri, itu yang buat keadaan jadi tegang,” ujar sumber tersebut.
Pemerhati politik melihat perkembangan ini sebagai ujian kematangan PN sama ada mampu mengurus peralihan kuasa berasaskan prinsip, atau terus dibelenggu politik tekanan dan kepentingan individu menjelang PRU16.
Sumber turut memaklumkan, ketegangan dijangka memuncak dalam mesyuarat PN minggu ini, apabila kelompok tertentu dikatakan akan membawa usul dan undian supaya Muhyiddin kekal menerajui PN, walaupun beliau telah nekad menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar.
Apa yang jelas, keputusan Muhyiddin kini bukan sekadar soal jawatan, tetapi pertarungan antara legasi dan nafsu kuasa dalam landskap politik gabungan itu.



