PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran melibatkan enam pegawai kanannya yang berkuat kuasa 9 Februari.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Abdul Rahman Kassim berkata, pertukaran itu membabitkan beberapa jawatan utama di Bukit Aman dan peringkat negeri.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Jawatan beliau digantikan oleh Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali yang sebelum ini mengetuai Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pula bertukar ke Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkifli Suhaili dipindahkan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dan akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sarawak, Asisten Komisioner Roselina Daud turut memangku pangkat SAC apabila dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak.
Selain itu, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor, Asisten Komisioner Pozlan Ibrahim ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, sambil memangku pangkat SAC. – KOSMO! ONLINE
The post PDRM umum pertukaran 6 pegawai kanan appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/pdrm-umum-pertukaran-6-pegawai-kanan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=pdrm-umum-pertukaran-6-pegawai-kanan




