KUALA LUMPUR – Suasana politik dalaman Perikatan Nasional (PN) dilaporkan semakin tegang apabila difahamkan terdapat usaha terancang untuk melengah-lengahkan mesyuarat tertinggi gabungan itu, yang dilihat sebagai langkah taktikal bagi mengelakkan keputusan besar dibuat dalam waktu terdekat.
Menurut seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang enggan dinamakan, usaha melengah mesyuarat tersebut dikaitkan dengan bekas Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Azmin Ali, yang dipercayai sedang memainkan peranan penting dalam mengatur pergerakan politik ketika tekanan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) semakin memuncak dari dalam gabungan itu sendiri.
Pemimpin berkenaan mendakwa, sekiranya mesyuarat PN diteruskan tanpa sebarang penangguhan, terdapat kemungkinan besar usul peletakan jawatan Muhyiddin akan dibentangkan dan dibahaskan secara terbuka oleh kepimpinan gabungan.
Keadaan itu, menurutnya, bakal mencetuskan implikasi besar terhadap struktur kuasa PN dan kepimpinan Bersatu.
Justeru, kelewatan mesyuarat dilihat sebagai usaha untuk membeli masa, menyusun semula sokongan serta meredakan tekanan dalaman yang kini semakin sukar dikawal.
Beliau turut menarik perhatian kepada tindakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan telah mengeluarkan surat rasmi mendesak agar mesyuarat PN disegerakan.
“Perkara ini memberi isyarat jelas bahawa PAS tidak mahu PN terus terperangkap dengan perancangan licik pihak tertentu yang sengaja melengahkan mesyuarat bagi memastikan peletakan jawatan Muhyiddin tidak berlaku secara rasmi sebelum dua pemimpin Bersatu yang dilihat cenderung kepada PAS dipecat,” katanya.
Dalam perkembangan yang menambah panas suasana, pemimpin tersebut turut mendedahkan bahawa Bersatu sedang mempertimbangkan tindakan disiplin paling keras, termasuk kemungkinan pemecatan terhadap Hamzah Zainudin dan Ronald Kiandee.
Menurutnya, langkah itu jika direalisasikan berpotensi mencetuskan krisis dalaman yang lebih besar serta mengubah landskap kepimpinan Bersatu dan kedudukannya dalam PN.
Sumber sama menjelaskan ketegangan dalaman Bersatu ketika ini berpunca daripada perbezaan hala tuju politik, perebutan pengaruh serta kes-kes mahkamah.
Keadaan tersebut mendorong sesetengah pihak melihat tindakan tegas sebagai jalan terakhir untuk merapatkan barisan, walaupun risikonya tinggi.
Dalam pada itu, Azmin dilihat terdesak untuk mengekalkan kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti, dipercayai bagi memastikan isu berkaitan kes Sandakan terus tersimpan, memandangkan Hamzah Zainudin, ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, didakwa telah melengkapkan siasatan berhubung video kotor yang dikaitkan dengan Azmin.
“Kebimbangan utama Azmin ialah kes tersebut dibuka semula untuk tujuan pendakwaan,” kata sumber berkenaan.
Sumber sama turut mendakwa orang kanan Azmin yang juga Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, kini giat mengatur langkah bagi menjayakan strategi tersebut, didakwa turut didorong kebimbangan terhadap satu kes rogol yang dikaitkan dengan dirinya.


