SHAH ALAM – PAS menegaskan kesediaan untuk menyokong mana-mana tokoh yang diputuskan oleh kepimpinan pusat parti bagi menerajui Perikatan Nasional (PN), termasuk jika Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai pengerusi gabungan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, YB Dato’ Halim Tamuri berkata, dalam PAS dan Perikatan Nasional, ramai pemimpin yang layak memegang jawatan tertinggi dan soal individu bukan isu utama.
“Dalam PN ini semua layak, presiden, timbalan presiden, naib presiden, dan dalam PAS sendiri semua layak untuk menjadi pemimpin Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui wartawan bagi mengulas khabar angin berhubung kemungkinan pelantikan Dr Ahmad Samsuri sebagai pengerusi baharu PN.
Menurut beliau, perkara paling penting adalah keputusan parti yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan tertinggi dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
“Apa yang paling utama ialah keputusan parti. Siapa yang diputuskan oleh parti, kita ikut dan taat. Tak kira siapa, sama ada Dr Sam atau mana-mana tokoh lain,” ujarnya.
Halim berkata, sebagai ahli PAS, prinsip ketaatan kepada keputusan pimpinan pusat menjadi asas perjuangan parti sejak sekian lama.
“Sebagai ahli PAS, kita akan taat dan patuh kepada siapa yang telah diputuskan oleh pimpinan PAS pusat dan AJK PAS pusat,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PAS mempunyai barisan kepimpinan yang berkualiti dan berwibawa untuk menerajui masa depan politik negara.
“PAS mempunyai kualiti kepimpinan yang terbaik dan siapa sahaja yang dipilih oleh PAS, itulah pemimpin terbaik untuk masa depan,” katanya.
Tambah beliau, keputusan yang bakal dibuat kelak akan diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan PAS yakin proses pemilihan pemimpin akan dilakukan secara matang dan berlandaskan kepentingan ummah serta negara.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini






