KUALA LUMPUR – Inisiatif “Rumah Bangsa” yang mula diketengahkan pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dilihat sebagai satu strategi politik penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pemerhati politik berpandangan langkah tersebut muncul susulan kegagalan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan (PH) untuk berfungsi sebagai penyumbang signifikan kepada deposit undi Melayu dan Islam. Dalam beberapa pilihan raya lalu, AMANAH dilihat hanya bergantung kepada undi ihsan daripada rakan komponen seperti DAP dan PKR, tanpa keupayaan membina sokongan akar umbi Melayu yang kukuh.
Keadaan itu turut dizahirkan apabila Anwar dilaporkan lebih memberi kepercayaan kepada tokoh-tokoh daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi mengurus portfolio agama, khususnya selepas rombakan Kabinet terdahulu, berbanding bergantung sepenuhnya kepada AMANAH.
Dalam konteks tersebut, UMNO muncul sebagai sekutu utama yang menyokong kepimpinan Anwar pada ketika ini, sekali gus menjadikan peranan parti itu semakin strategik dalam landskap politik kerajaan perpaduan.
Namun, seruan kepada “perpaduan” yang dilaungkan UMNO dan PAS memperlihatkan perbezaan ketara dari sudut agenda dan kekuatan politik. PAS mengangkat perpaduan sebagai strategi ofensif untuk menewaskan PH yang didakwa gagal mentadbir negara dengan berkesan. Parti itu melihat perpaduan sebagai keperluan mendesak demi survival politik Melayu dan Islam di Malaysia pada masa hadapan.
Kedudukan PAS sebagai parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat, selain penguasaan beberapa kerajaan negeri, memberikan parti itu mandat rakyat, jentera akar umbi yang aktif serta pengalaman mentadbir yang semakin matang. Faktor ini menjadikan pendekatan PAS bersifat mencabar hegemoni kuasa politik Persekutuan secara terbuka.
Sebaliknya, UMNO berada dalam kedudukan yang lebih defensif. Bilangan Ahli Parlimennya merosot dengan ketara berbanding era dominasi mutlak sebelum ini, manakala di peringkat negeri, UMNO tidak lagi mentadbir mana-mana kerajaan secara bersendirian. Justeru, peranan UMNO kini banyak bergantung kepada kerjasama dalam kerajaan campuran PH-BN.
Dalam realiti ini, konsep “Rumah Bangsa” yang dibawa UMNO dilihat mencerminkan kekuatan politik parti itu yang semakin terhad. Perpaduan versi UMNO ditafsirkan lebih menjurus kepada usaha mengekalkan kestabilan kerajaan sedia ada serta survival politik sebahagian pemimpin UMNO, berbanding agenda survival politik Melayu secara menyeluruh.
Perbezaan pendekatan ini meletakkan pengundi, khususnya anak muda, di persimpangan dua tafsiran perpaduan. Satu berasaskan perubahan kuasa demi kelangsungan politik Melayu dan Islam pada masa hadapan, manakala satu lagi berasaskan kestabilan pentadbiran PH dan pengurusan kuasa dalam kerangka kerajaan perpaduan.
Pemerhati turut menimbulkan persoalan apabila idea “Rumah Bangsa” dizahirkan sejurus selepas kes melibatkan Presiden UMNO diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), yang didakwa mendapat legitimasi politik daripada keputusan Kabinet.
Susulan itu, inisiatif seperti Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Majlis Perundingan Ummah yang diumumkan pasca PAU dilihat sebagai nilai politik baharu UMNO dalam peranannya sebagai parti komponen kerajaan PH-BN, khususnya dalam membantu PKR dan Anwar Ibrahim mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri selepas PRU-16.
Penulis ialah Muhammad Faizzuddin bin Mohd Zai, penganalisis politik Malaysia.


