KUALA LUMPUR, 1 Februari – Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini atas nama Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Hashim Jasin berhubung penerimaan rayuan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis telah ditarik balik selepas dikenal pasti mengandungi kesilapan fakta.
Semakan di Facebook beliau mendapati kenyataan awal itu telah dipadam tanpa sebarang permohonan maaf dan pembetulan fakta.
Menurut penjelasan rasmi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Saad@Yahaya sebagai membetulkan fakta asal, Majlis Syura Ulama (MSU) tidak membuat sebarang keputusan meluluskan rayuan yang dikemukakan oleh Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Mohd Ridzuan Hashim, kerana perkara berkenaan bukan berada dalam bidang kuasa MSU.
Sebaliknya kata beliau yang juga ahli MSU, badan itu hanya menerima borang rayuan permohonan ahli baru PAS dari tiga mantan Adun tersebut untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat.
“Borang berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung PAS untuk pertimbangan lanjut oleh PAS Pusat mengikut Perlembagaan dan tatacara parti,” katanya.
Penjelasan itu sekali gus membetulkan laporan awal yang menyatakan kononnya MSU telah menerima rayuan ketiga-tiga individu terbabit untuk kembali menjadi ahli PAS.



