SHAH ALAM, 9 Feb 2026 – Pemimpin PAS Selangor menegaskan bahawa Pendidikan Malaysia tidak patut dijadikan medan eksperimen dasar, dan sebarang perubahan besar dalam sistem pendidikan negara mestilah diteliti secara kritikal serta berasaskan kajian empirikal yang kukuh, bukannya berdasarkan andaian semata-mata.
Dato’ Dr Ab Halim Tamuri, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada tindak lanjut pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, terutama cadangan anjakan kemasukan murid ke Darjah Satu pada usia enam tahun.
Beliau menegaskan bahawa persoalan asas yang perlu dijawab kerajaan ialah sama ada sistem semasa pada usia tujuh tahun benar-benar gagal, dan apakah bukti empirikal menunjukkan bahawa kemasukan lebih awal meningkatkan kualiti pembelajaran jangka panjang soalan yang belum dijawab secara terperinci.
“Pendidikan bukan ruang eksperimen dasar. Ia memerlukan asas kajian yang kukuh, hujah yang konsisten serta kesediaan pembuat dasar untuk mempertanggungjawabkannya secara ilmiah dan moral,” tegas Dr Ab Halim.
Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa perubahan struktur pendidikan akan memberi kesan kewangan dan tekanan emosi kepada keluarga, lebih-lebih kepada golongan berpendapatan sederhana yang bekerja. Selain itu, ketidakseragaman infrastruktur dan sumber manusia antara sekolah bandar dan luar bandar turut dibangkitkan sebagai faktor risiko yang belum diatasi sepenuhnya.
Dari sudut tenaga pendidik, Dr Ab Halim menyatakan bahawa guru perlu dilihat sebagai pakar pendidikan yang diperkasa dan dihormati, bukan sekadar pelaksana dasar. Beliau mendesak agar reformasi pendidikan turut melibatkan latihan intensif dan sokongan profesional yang memberi ruang kepada guru untuk menyumbang idea berdasarkan pengalaman bilik darjah.
Kenyataan ini memberi penekanan bahawa ketelusan, bukti kajian, dan libat urus dengan guru, ibu bapa serta pakar pendidikan adalah elemen penting untuk membina kepercayaan rakyat terhadap dasar pendidikan negara, serta memastikan perubahan yang dilaksanakan adalah adil dan mampan untuk masa depan pelajar.






