KUALA LUMPUR, 13 Februari – Sekumpulan 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, yang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Presiden BERSATU dengan segera.
Menerusi satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini, kumpulan wakil rakyat tersebut menegaskan bahawa langkah peralihan kepimpinan adalah kritikal bagi memastikan kelangsungan dan penyatuan parti.
“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan YB Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan tersebut turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengemudi parti sebagai Pemangku Presiden. Beliau disifatkan sebagai tokoh yang berupaya mengembalikan agenda BERSATU kepada perjuangan asal demi rakyat dan negara, serta memulihkan kekuatan jentera parti.
Antara Ahli Parlimen yang disenaraikan menyokong desakan ini termasuk Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), serta Datuk Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu).
Kenyataan tersebut turut menekankan bahawa perubahan kepimpinan ini dilihat sebagai strategi penting untuk memastikan BERSATU kekal relevan dan bersiap siaga menghadapi cabaran politik semasa dengan lebih efektif.
“Kami yakin bahawa YB Dato Seri Hamzah Zainudin mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda BERSATU kepada perjuangan agenda rakyat dan negara, serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” tambah kenyataan itu lagi.

