TEHERAN: Iran dan Oman mengumumkan persetujuan untuk menguruskan Selat Hormuz secara bersama dengan memastikan pengoperasian laluan maritim strategik itu mematuhi sepenuhnya garis panduan undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa kedua-dua negara yang berkongsi sempadan maritim di laluan berkenaan mempunyai “hak semula jadi” untuk menyelaraskan keselamatan serta membuat keputusan mutlak berhubung pentadbirannya.
Menurut beliau, walaupun Teheran sedia bertukar pandangan dengan negara-negara Teluk yang lain mengenai perkembangan semasa, keputusan akhir mengenai pengurusan selat itu tetap menjadi hak eksklusif Iran dan Muscat.
“Usaha bersama ini adalah bertujuan memastikan laluan yang selamat dan mampan bagi semua kapal dagang yang merentasi Selat Hormuz selaras dengan undang-undang maritim antarabangsa,” katanya dalam satu wawancara bersama penyiar negara Iran, IRIB.
Langkah ini diambil ketika situasi geopolitik di Asia Barat terus berada dalam fasa kritikal, susulan siri konflik serantau yang sebelum ini dilaporkan menjejaskan aliran perdagangan minyak global serta keselamatan perkapalan di selat berkenaan.
Sebelum ketegangan meningkat, Selat Hormuz merupakan nadi utama tenaga global yang mengendalikan hampir satu perlima daripada keseluruhan bekalan minyak dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, pendekatan Oman yang bertindak sebagai pengantara diplomatik neutral terus menjadi perhatian, terutamanya dalam mengekalkan imbangan hubungan antara Iran dan blok Barat demi memastikan kestabilan laluan perdagangan antarabangsa kekal terpelihara.



