JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, sebagai seorang yang keliru dalam membezakan antara tanggungjawab menguruskan negara dengan jalinan kerjasama politik kepartian.
Noor Azleen menjelaskan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara, dan ia merupakan satu bentuk tanggungjawab nasional yang wajib dipikul bersama oleh semua parti terlibat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa situasi tersebut tidak bermakna identiti, prinsip, dan hala tuju politik setiap parti di peringkat negeri perlu dicairkan atau dipaksa mengikut acuan yang sama, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Anthony Loke nampaknya keliru dan gagal membezakan antara apa itu tanggungjawab kepada negara (statecraft) dengan kerjasama politik (politics).
“Kerjasama di peringkat Persekutuan adalah demi kelangsungan pentadbiran negara selepas pasca-PRU15, tetapi di peringkat negeri, terutamanya di Johor, kita mempunyai dinamika dan acuan kestabilan kita sendiri yang telah terbukti berjaya membawa kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Noor Azleen ini hadir sebagai maklum balas susulan bidasan terbuka Anthony Loke sebelum ini yang mempersoalkan ketegasan pemimpin UMNO Johor kerana enggan bekerjasama atau ‘duduk semeja’ dengan DAP selepas PRN nanti.
Menurut Noor Azleen, penolakan mutlak yang disuarakan oleh kepimpinan UMNO Johor, termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mencerminkan suara dan sentimen sebenar akar umbi parti yang mahukan mandat sedia ada dipertahankan tanpa sebarang kompromi prinsip.
Beliau turut menambah bahawa DAP tidak sepatutnya bersikap melatah atau mendesak agar formula kerjasama di Kuala Lumpur disalin bulat-bulat ke Johor, memandangkan landskap politik semasa kini lebih fleksibel dan setiap negeri berhak menentukan formula terbaik demi kestabilan wilayah masing-masing.



