SHAH ALAM: PAS menegaskan kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dipersoalkan kerana parti itu merupakan antara pengasas utama gabungan berkenaan, bukannya sekadar “penumpang” yang boleh ditentukan hala tujunya oleh pihak lain.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa kedudukan PAS dalam PN menjadi janggal susulan ketegangan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah satu pandangan yang tersasar daripada realiti sebenar.
Menurut beliau, sebagai salah satu penandatangan rasmi yang mendaftarkan penubuhan PN sejak awal, kekuatan dan survival PAS di dalam gabungan tersebut sama sekali tidak bergantung kepada kepentingan mana-mana individu atau parti politik lain.
“Persoalan yang lebih tepat bukanlah mengapa PAS berada dalam PN, tetapi mengapa Bersatu masih mahu berada dalam gabungan ini sekiranya ada pihak dalam parti mereka yang berterusan mempertikaikan keputusan, kepimpinan, dan hala tuju yang telah dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada Hak Eksklusif Kuasai PN
Mohamed Sukri turut mengingatkan bahawa PN bukan hanya dianggotai oleh PAS dan Bersatu semata-mata, sebaliknya turut didukung oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Olah itu, beliau menegaskan tidak ada mana-mana parti komponen yang mempunyai hak eksklusif ke atas gabungan pembangkang tersebut, dan masa depannya perlu diputuskan secara kolektif.
“PAS kini merupakan parti terbesar dalam PN berdasarkan kekuatan keahlian, jentera organisasi, jumlah kerusi yang dimenangi, serta sokongan padu akar umbi di seluruh negara.
Adalah tidak munasabah untuk menggambarkan PAS sebagai pihak yang perlu menilai semula kedudukannya dalam wadah yang turut diasaskannya sendiri,” ujarnya lagi.
Jangan Heret Gabungan Tanggung Beban Krisis Dalaman
Mengulas mengenai situasi bergolak yang melanda Bersatu kebelakangan ini, Mohamed Sukri menasihatkan rakan sekutu mereka itu agar fokus melakukan penstrukturan semula dan menyelesaikan kemelut organisasi mereka sendiri, tanpa mengheret keseluruhan gabungan PN.
Beliau menambah, PAS tidak sepatutnya dipaksa untuk terus menanggung beban politik atau implikasi negatif ekoran krisis dalaman yang tidak berpunca daripada parti Islam berkenaan.
Kenyataan tegas daripada sayap Pemuda PAS ini hadir sebagai respons kepada beberapa pandangan pimpinan Bersatu sebelum ini yang mempersoalkan keabsahan kedudukan serta moral PAS untuk terus memimpin blok PN, susulan keputusan drastik PAS Pusat yang mula meneroka pembentukan persefahaman politik baharu di luar kerangka sedia ada.



