SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dijadualkan hadir bagi merasmikan Konvensyen ‘Reset’ Malaysia yang diterajui oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Tanah Merah, Kelantan, esok.
Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Sulaiman, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas Abdul Hadi menerima undangan rasmi daripada Hamzah, yang juga pengasas gerakan politik berkenaan.
Kehadiran Abdul Hadi ke konvensyen tersebut dijangka menarik perhatian besar penganalisis politik tanah air, memandangkan beliau turut dilaporkan bakal mengumumkan “sesuatu” yang penting semasa majlis berkenaan.
“Insya-Allah, esok (Sabtu) bakal berlangsung peristiwa penting yang mana Tuan Guru (Abdul Hadi) telah bersetuju menerima undangan bagi merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.
“Pengumuman itu nanti dibuat susulan susulan pertemuan empat mata antara Hamzah dan Abdul Hadi di Marang, Terengganu baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan perkembangan mutakhir blok pembangkang itu.
Konvensyen yang bakal berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni itu dijangka dihadiri sekitar 1,000 perwakilan utama, termasuk 19 Ahli Parlimen serta ribuan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini memilih menyokong gerakan berkenaan.
Langkah Abdul Hadi yang secara terbuka menyokong gerakan Hamzah ini hadir selepas PAS Pusat meletakkan syarat tegas agar Bersatu menyelesaikan kemelut dalaman mereka, termasuk keperluan untuk berbaik semula dengan kumpulan Reset sekiranya mahu memastikan kelangsungan kerjasama politik mereka kekal terpelihara.



