SHAH ALAM: Gelombang penolakan terhadap kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus merebak ke peringkat akar umbi apabila jawatankuasa Bersatu Bahagian Temerloh hari ini mengumumkan keputusan keluar parti secara beramai-ramai untuk menyertai gerakan ‘Reset’ Malaysia.
Tindakan drastik itu menyaksikan lumpuhnya struktur organisasi parti di bahagian berkenaan apabila ia turut melibatkan peletakan jawatan sebahagian besar ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, ketua-ketua sayap Srikandi dan Armada, serta ketua-ketua cawangan.
Jurucakap kumpulan berkenaan menjelaskan, keputusan itu diambil selepas mereka hilang kepercayaan terhadap hala tuju pimpinan pusat Bersatu yang disifatkan gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan bijak, sehingga mencetuskan perpecahan parah dalam blok Perikatan Nasional (PN).
“Kami di peringkat akar umbi Temerloh melihat tiada lagi masa depan yang jelas sekiranya terus kekal di bawah acuan kepimpinan sedia ada. Bersatu kini semakin terpencil dan kehilangan rakan sekutu strategik akibat keangkuhan politik sesetengah pihak di atas.
“Oleh itu, demi kelangsungan perjuangan membela agama, bangsa, dan tanah air, kami dengan rela hati melepaskan semua jawatan dalam Bersatu untuk memberikan sokongan padu dan menyertai gerakan ‘Reset’ yang diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Struktur Bahagian Lumpuh Menjelang Konvensyen
Tindakan Bersatu Bahagian Temerloh ini dijangka akan mencetuskan kesan domino ke atas beberapa bahagian lain di Pahang dan negeri-negeri sekitar, yang dilaporkan turut menunggu masa untuk mengambil langkah serupa.
Perkembangan terbaharu ini juga hadir hanya sehari menjelang pelancaran rasmi Konvensyen ‘Reset’ Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Tanah Merah, Kelantan esok, di mana Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri bakal hadir bagi merasmikan acara berkenaan.
Kemasukan beramai-ramai bekas pimpinan dan ahli Bersatu Temerloh ini memberi isyarat jelas mengenai peralihan sokongan jentera melayu-bumiputera yang kini lebih condong kepada jajaran politik baharu yang sedang dibentuk oleh kumpulan Reset bersama PAS.



