ALOR SETAR: PAS mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tidak boleh diukur menggunakan ‘pembaris’ atau kayu ukur yang sama seperti parti-parti politik lain di negara ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ekosistem perjuangan yang dibina di dalam PAS tidak wujud pada parti seperti PKR, UMNO, Bersatu, mahupun DAP kerana parti-parti berkenaan ditubuhkan atas dasar untuk merebut kuasa semata-mata.
Menurut beliau, penglibatan PAS dalam pilihan raya adalah satu bentuk jalan jihad bagi mendapatkan kuasa menerajui kerajaan demi menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran, bukannya demi mengejar jawatan atau keistimewaan duniawi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.
Pengorbanan Ahli Berpaksi Ekosistem Syurga
Menteri Besar Kedah itu turut membidas dakwaan pihak tertentu yang menuduh PAS menjanjikan syurga sekiranya mengundi calon parti tersebut. Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa setiap gerak kerja, dakwah, siasah, dan kebajikan yang digerakkan ahli PAS diniatkan sebagai amal soleh untuk meraih rahmat Allah SWT.
“Tak ada orang yang sponsor bas, tak ada makan ‘free’, tak ada orang bagi duit minyak. Mai (datang) program kena bagi derma lagi, kadang-kadang kutip dua kali.
Tetapi itulah ahli PAS yang sentiasa memberi serta berkorban tak kira waktu… Mereka yang tak sukakan kita kerana tak mampu menyaingi kita, maka mereka nak nilai kita, ukur kita sebagai parti politik semata-mata. Mereka salah,” tegasnya.
Tepis Khabar Angin Keretakan Perikatan Nasional (PN)
Dalam perkembangan sama, Sanusi meminta ahli parti agar tidak terpengaruh dengan serangan saraf dan fitnah pihak musuh yang cuba memburuk-burukkan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Beliau mengulas mengenai cubaan sesetengah pihak yang memainkan naratif kononnya PAS menjadi punca pergolakan gabungan itu selepas jawatan Pengerusi PN kini dipangku oleh Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sanusi memberi jaminan bahawa struktur kepimpinan baharu PN di bawah Ahmad Samsuri adalah kukuh dan sedia mengemudi blok pembangkang bagi menghadapi siri Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.


